BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar Berikutan Rundingan AS-Iran

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, dipengaruhi oleh sentimen berhati-hati ketika susulan peniaga menunggu hasil yang lebih jelas daripada rundingan Amerika Syarikat-Iran yang sedang berlangsung.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 3.9550/9600 berbanding dolar AS daripada 3.9510/9550 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertukaran dolar-ringgit telah berlegar sekitar RM3.95, disebabkan optimisme dan pesimisme yang berubah-ubah menyebabkan perdagangan tiada hala tuju dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing meningkat kepada AS$92.96 dan AS$101.69 setong, dalam persekitaran tiada kemajuan berhubung pembukaan semula Selat Hormuz yang terus memberi kesan kepada sentimen dan ringgit.

“Pada masa sama, ekuiti penanda aras AS ditutup lebih tinggi semalaman dengan S&P 500 mencecah paras tertinggi rekod manakala hasil Perbendaharaan AS meningkat, menandakan bahawa prospek inflasi lebih tinggi mungkin mendorong Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat,” katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, ringgit kebayakannya diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.3389/3456 daripada 5.3414/3468 ketika ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding euro kepada 4.6293/6352 daripada 4.6408/6455, bagaimanapun berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.4798/4831 daripada 2.4794/4821 sebelum itu.

Dalam pada itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, 

Ringgit melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1000/1042 daripada 3.1030/1063 ketika ditutup pada Rabu dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.2567/2795 daripada 12.2717/2902 tetapi merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 230.2/230.5 daripada 229.9/230.2 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.57/6.59 daripada 6.57/6.58 sebelumnya.

-- BERNAMA