Malaysia Perlu Buat Pembaharuan, Sesuaikan Respons Kepada Cabaran Global - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Malaysia perlu melakukan pembaharuan atau menyesuaikan semula tindak balasnya terhadap perubahan struktur global, terutama dalam perdagangan apabila perubahan itu berlaku, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia juga perlu sentiasa peka terhadap kedudukan strategiknya sebagai kuasa pertengahan dengan memanfaatkan kekuatannya sambil menangani kebimbangan mengenai keselamatan tenaga, teknologi dan daya tahan keseluruhan untuk terus menjadi sebahagian daripada ekosistem rantaian bekalan Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Bagi MIDA dan Malaysia, kami tahu kekuatan kami, tetapi pada masa sama, kita perlu bersedia untuk cabaran yang akan datang,” katanya pada sesi panel program CNBC Converge Live bertajuk ‘Redrawing the Global Trade Map,’ yang dihoskan pengacara Morning Call, Morgan Brennan, hari ini.
Menurutnya Malaysia perlu terus menjalinkan kerjasama dengan AS dan China berikutan kedua-dua ekonomi itu menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Tengku Zafrul berkata walaupun China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dan ASEAN, AS merupakan pelabur dan pasaran eksport terbesar Malaysia, malah mungkin juga bagi rantau ASEAN secara keseluruhannya.
“Kami konsisten dan akan terus berurusan dengan kedua-dua negara kerana kita membincangkan mengenai keselamatan rantaian bekalan dan keselamatan teknologi, dan mereka mahu mempunyai rakan rantaian bekalan yang dipercayai.
“Oleh itu, Malaysia dan ASEAN boleh memainkan peranan itu (sebagai rakan rantaian bekalan yang dipercayai) berikutan pendirian kita mengenai keberkecualian strategik,” katanya.
Sebagai ekonomi yang terbuka, Tengku Zafrul berkata kekuatan Malaysia dalam industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor tenaga, disokong dasar yang konsisten, membolehkan negara untuk kekal berkecuali dan relevan dalam rantaian bekalan global.
“Keadaan sentiasa berubah. Pelbagai pihak sedang memantau dengan teliti bagaimana kita (Malaysia) mengendalikan situasi semasa di Asia Barat.
“Saya berharap melalui dasar yang konsisten dan keputusan strategik penting yang memberi tumpuan kepada jangka panjang, langkah ini akan memberi manfaat kepada Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Mengenai keselamatan tenaga ketika krisis Asia Barat yang berterusan, Tengku Zafrul berkata Malaysia kini dalam kedudukan yang mantap sebagai pengeksport tenaga bersih, yang meletakkan negara pada kedudukan ekonomi yang kukuh.
Beliau berkata pasaran modal Malaysia kekal optimistik, dengan peningkatan lebih 10 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif, prestasi pelaburan, kadar pengangguran yang stabil serta fleksibiliti dasar dari segi fiskal dan monetari.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil mudah mengenai perkara ini. Pada pandangan saya, kita sedang melihat pengagihan semula aset oleh syarikat dan pengurus dana dalam pasaran modal serta pelaburan asing untuk jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA