Ketech Asia Bakal Perluas Rangkaian Produk Dengan Dua Kaliber Peluru Baharu Pada 2027
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Syarikat pengeluaran peluru tempatan, Ketech Asia Sdn Bhd merancang untuk memperkukuh portfolio produk dan aliran perolehannya melalui pengenalan dua kaliber tambahan iaitu peluru 7.62 milimeter (mm) dan 12.7mm pada tahun depan.
Ini merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan dan peluasan kapasiti syarikat yang lebih luas.
Pengarah projeknya Rahayu Bahaudin berkata langkah berkenaan mencerminkan tumpuan syarikat untuk mengembangkan segmen senjata api kecil sambil menilai pulangan pelaburan (ROI) secara teliti di tengah-tengah usaha berterusan membina asas pengeluaran yang lebih berdaya tahan dan cekap kos.
"Namun begitu, apabila kita beralih ke pembuatan senjata api kecil, kita sedia maklum bahawa rantaian bekalan bagi bahan mentah tidak tersedia di Malaysia kerana tiada pemain industri yang membekalkannya.
“Kita tidak mempunyai ekosistem tersebut, jadi kami masih perlu mengimport semua bahan mentah ini dari luar Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar acara Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini hari ini.
Ketech Asia mengendalikan kemudahan pembuatan peluru berautomasi tinggi yang pertama di negara ini di Kuala Lipis, Pahang yang kini menghasilkan sehingga 130 juta butir peluru berkaliber 9mm dan 5.56mm setiap tahun untuk pasaran domestik.
Pembuatan peluru senjata api kecil standard sangat bergantung kepada tiga bahan mentah utama iaitu loyang untuk membentuk kelongsong peluru, primer sebagai punca nyalaan awal dan bahan pendorong (serbuk bedil) untuk menghasilkan tekanan gas letupan yang diperlukan bagi melancarkan peluru keluar dari laras.
Rahayu berkata walaupun Ketech Asia mendapatkan bekalan daripada syarikat tempatan di Malaysia, syarikat tersebut tetap perlu mengimport dari luar negara dan di tengah-tengah konflik yang sedang berterusan, kos terus meningkat, terutamanya apabila perbelanjaan logistik kadangkala boleh melebihi nilai barangan yang dibeli.
Beliau berkata Ketech Asia kebanyakannya mengimport bahan mentah dari China dan Turkiye selain terus meneroka sumber-sumber lain bagi mengelakkan pergantungan berlebihan kepada pembekal tunggal.
Mengenai eksport, Rahayu berkata Ketech Asia memberi keutamaan kepada pasaran domestik terlebih dahulu memandangkan niat asal syarikat adalah untuk mencapai kemandirian sebelum akhirnya berkembang ke negara lain.
Beliau menambah bahawa syarikat itu telah menerima banyak pertanyaan daripada negara-negara seperti Asia Barat, Thailand, Singapura dan Filipina.
Di tengah-tengah konflik yang berterusan di Asia Barat, Rahayu berkata walaupun Ketech Asia tidak berdepan masalah dengan bekalan bahan mentah, kenaikan kos logistik meningkatkan perbelanjaan keseluruhan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat biarpun menjual pada harga tetap kepada kerajaan.
Mengenai permintaan, beliau berkata tempahan boleh mencecah sekitar 100 juta butir peluru bagi setiap penghantaran.
Rahayu turut menyatakan bahawa syarikat itu berada di landasan yang betul untuk menjadi peneraju dan ikon dalam teknologi ketenteraan ASEAN menjelang 2030.
Beliau menambah bahawa pihaknya telah merancang dan segala-galanya telah dicapai setakat ini, memandangkan Ketech Asia membuka kilang pelurunya pada hujung 2024.
Rahayu juga berkata Ketech Asia sedang memberi tumpuan kepada peluasan hab pembuatan di Kuala Lipis bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada bumiputera terutamanya di luar bandar besar.
-- BERNAMA