BERITA TERKINI   NHMS 2025: Isu mobiliti, isolasi menjadi cabaran sistemik utama apabila 18.8 peratus daripada 4.1 juta warga emas tinggal bersendirian - Dzulkefly | Malaysia berisiko berdepan krisis kesihatan, fiskal dan sosial serentak jika cabaran penuaan tidak ditangani secara menyeluruh - Dzulkefly | Malaysia dijangka capai status negara menua menjelang 2036 dengan kadar penuaan antara terpantas di dunia - Dzulkefly | NHMS 2025: Hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia capai penuaan sejahtera, mencerminkan cabaran kesihatan semakin kompleks - Dzulkefly | Eksport suku pertama 2026 Malaysia naik 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, nilai suku tahunan kedua tertinggi direkodkan, import meningkat 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion, hasilkan RM63.22 bilion lebihan dagangan - MITI | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Stabil Dengan Kecenderungan Menurun Minggu Depan

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami penstabilan dengan kecenderungan menurun pada minggu hadapan, di tengah-tengah bekalan yang mencukupi dan penyederhanaan harga tenaga.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga MSM berkemungkinan bergerak dalam jajaran yang lebih kecil memandangkan harga minyak mentah menyederhana di tengah-tengah perkembangan geopolitik yang semakin baik.

"Harga MSM seolah-olah akan stabil memandangkan harga tenaga semakin menurun berikutan situasi Amerika Syarikat-Iran yang kini menuju ke arah rundingan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran niaga hadapan dijangka diniagakan antara RM4,200 dan RM4,350 pada minggu hadapan.

Pasaran terus dipengaruhi daripada harga tenaga dengan spekulator berkemungkinan mengambil untung selepas berlaku aliran peningkatan baru-baru ini.

Teh menambah bahawa keadaan bekalan kekal mencukupi di Malaysia dan Indonesia tanpa sebarang kebimbangan segera mengenai kekurangan stok.

Dalam pada itu, permintaan dijangka dipacu oleh negara pengimport utama seperti China, India, Pakistan serta beberapa pasaran di Asia Barat dan Kesatuan Eropah.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2026 turun RM114 kepada RM4,386 setiap tan, Jun 2026 merosot RM116 kepada RM4,422 setiap tan manakala Julai 2026 adalah RM101 lebih rendah pada RM4,450 setiap tan.

Kontrak Ogos 2026 susut RM82 kepada RM4,457 setiap tan manakala September 2026 berkurang RM71 kepada RM4,449 setiap tan.

Sementara itu, kontrak Oktober 2026 ditetapkan pada RM4,435 setiap tan.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 429,556 lot daripada 391,313 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 260,192 kontrak daripada 259,223 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan turun RM120 kepada RM4,460 setiap tan.

-- BERNAMA