Eksport Halal Malaysia RM68.52 Bilion Pada 2025, Naik 10.9 Peratus Tahun Ke Tahun - HDC
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Eksport halal Malaysia pada 2025 berjumlah RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus tahun ke tahun sekali gus menunjukkan permintaan global yang berterusan dan daya tahan industri dalam persekitaran cabaran geopolitik yang sentiasa berubah, menurut Halal Development Corporation Bhd (HDC).
Dalam kenyataan hari ini, katanya eksport halal pada 2025 menyumbang 4.3 peratus kepada jumlah eksport Malaysia, meningkat 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut HDC, prestasi eksport terus dipacu oleh segmen makanan dan minuman yang menyumbang kira-kira RM36.86 bilion (53.8 peratus) daripada jumlah eksport halal, diikuti bahan halal sebanyak RM21.39 bilion (31.2 peratus).
“Eksport minyak sawit dan derivatif bernilai RM4.57 bilion mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 55 peratus.
“Komposisi ini menunjukkan kemantapan Malaysia dalam sektor teras penggunaan halal selain menekankan peluang berterusan untuk memperluas segmen bernilai tambah tinggi seperti farmaseutikal dan bahan halal,” kata HDC, agensi Kerajaan Persekutuan yang diberikan mandat sebagai pengurus utama ekonomi halal Malaysia.
HDC turut menekankan mengenai produk halal Malaysia yang terus mendapat sambutan di pelbagai pasaran, dengan pasaran eksport utama termasuk China, Singapura, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Indonesia.
Menurutnya eksport ke China berjumlah RM9.00 bilion (13.2 peratus) daripada jumlah eksport halal, diikuti Singapura RM7.11 bilion (10.4 peratus), AS (RM4.46 bilion, 6.5 peratus), Jepun (RM4.22 bilion, 6.2 peratus) dan Indonesia (RM3.51 bilion, 5.1 peratus).
“Pengagihan pasaran yang luas ini mencerminkan kepelbagaian strategik Malaysia di luar daripada pasaran tradisional sekali gus mengukuhkan daya tahan terhadap gangguan serantau,” menurut HDC.
Pada masa sama, pelaburan terkumpul dalam taman halal Malaysia terus memperlihatkan pertumbuhan stabil, menandakan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap ekosistem halal negara, disokong oleh tadbir urus yang kukuh, kredibiliti pensijilan dan pembangunan industri bersepadu.
Menurut HDC, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam landskap global pasca konflik, antaranya menyokong pembinaan semula rantaian bekalan halal dan memperkukuh hubungan perdagangan di rantau yang terkesan.
“Di peringkat domestik, HDC akan terus memberi keutamaan kepada pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana, kesiapsiagaan eksport serta pengukuhan ekosistem termasuk melalui platform digital seperti Halal Integrated Platform HDC,” katanya.
-- BERNAMA