LGM Sita Empat Tan Sarung Tangan Getah Haram Bernilai RM20,000 Di Puchong
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyita kira-kira empat tan sarung tangan getah dianggarkan bernilai RM20,000, dipercayai diproses dan diperdagangkan tanpa permit dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis di Puchong, Selangor.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh LGM, operasi itu dijalankan pihaknya bersama Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
“Premis berkenaan dipercayai aktif menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak (sarung getah yang tidak memenuhi piawaian) serta sarung tangan getah sekerap tanpa permit sah.
“Aktiviti ini merupakan satu kesalahan, tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 22 (1)(b). Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
“Menerusi operasi dijalankan, pihak LGM telah menyita sekitar empat tan sarung tangan getah di dalam guni serta sebuah alat penimbang. Keseluruhan nilai rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM20,000,” menurut kenyataan itu.
LGM memaklumkan ia sentiasa mempergiatkan aktiviti kawal selia industri sarung tangan getah termasuk aspek kualiti selaras dengan kedudukan Malaysia yang merupakan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia, selain itu pihaknya juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras pelanggaran peraturan.
Orang awam dialu-alukan mengemukakan aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM di https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
--BERNAMA