Malaysia, Thailand Amal Strategi Berbeza Subsidi Bahan Api Susulan Ketidaktentuan Harga Minyak Global
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Malaysia dan Thailand mengamalkan pendekatan yang berbeza secara asas dalam pengurusan subsidi bahan api, mencerminkan perbezaan keutamaan dasar serta strategi kedua-dua negara dalam mengimbangi kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat ketika berdepan ketidaktentuan harga minyak global.
Di Malaysia, sistem subsidi berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM) yang membolehkan harga runcit bahan api bergerak seiring penanda aras global, dengan pelaksanaan subsidi bersasar bagi mengurangkan tekanan kos terhadap kumpulan dan sektor tertentu.
Sementara itu, Thailand bergantung kepada Dana Minyak Bahan Api (Oil Fuel Fund) bagi menampan harga domestik, membolehkan harga runcit mengikuti pasaran sambil sebahagian kenaikan diserap melalui subsidi yang disalurkan daripada dana berkenaan.
Penganalisis Kanan Rystad Energy, Girish Sen, berkata pengurangan harga diesel di Thailand baru-baru ini hanya memberikan kelegaan jangka pendek kepada kos logistik serta sedikit peningkatan daya saing sektor eksport berintensif pengangkutan, namun ia tidak harus dianggap sebagai perubahan dasar struktur.
Bermula 11 April, Thailand menurunkan harga runcit kebanyakan produk diesel dan gasohol sehingga enam baht seliter sempena musim perayaan Songkran bagi meringankan kos pengangkutan dan perbelanjaan isi rumah.
Girish berkata perbezaan harga diesel antara Malaysia dan Thailand mencerminkan perbezaan asas dalam kerangka subsidi kedua-dua negara, dengan model siling harga universal Thailand berfungsi sebagai penampan jangka pendek.
“Dalam senario konflik berpanjangan, persoalan utama bagi Thailand bukan sama ada pelarasan harga akan berlaku, tetapi sejauh mana kadar dan urutan pelarasan itu dapat diurus secara teratur sebelum kapasiti pinjaman dana tersebut habis digunakan,” katanya kepada Bernama.
“Jika tidak, kenaikan harga secara mendadak berkemungkinan berlaku apabila ruang pinjaman itu telah kehabisan.”
Beliau berkata Thailand menggunakan Dana Minyak Bahan Api, iaitu mekanisme kerajaan untuk menstabilkan harga bahan api dan menampan kesan turun naik harga minyak global, termasuk ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat. Malaysia pula mengurus harga melalui APM dengan pendekatan subsidi bersasar.
Dana tersebut, yang ditubuhkan pada 1973, dibiayai melalui pinjaman dengan had sehingga 150 bilion baht (sekitar RM18.7 bilion), berbanding sistem subsidi Malaysia yang bergantung kepada hasil kerajaan.
Kementerian Tenaga Thailand sebelum ini memaklumkan negara itu mempunyai bekalan minyak mencukupi untuk kira-kira 110 hari, manakala dana berkenaan mencatatkan defisit 59.4 bilion baht (US$1.85 bilion) setakat 10 April 2026.
Dengan kedudukan defisit tersebut, kapasiti dana itu dianggarkan hanya mampu bertahan kira-kira dua bulan lagi sekiranya harga minyak global kekal pada paras semasa.
Girish berkata keadaan itu menunjukkan bahawa walaupun harga diesel Thailand kini sedikit lebih rendah berbanding Malaysia, jurang tersebut tidak dijangka dapat dikekalkan dalam jangka masa terdekat.
“Model berasaskan hasil di Malaysia adalah lebih berdaya tahan kerana ia dibiayai melalui bajet kerajaan, disasarkan kepada pengguna, dan dikawal melalui kuota, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan mengurus pendedahan tanpa menambah beban hutang struktur,” katanya.
“Sebaliknya, dana Thailand bergantung kepada pinjaman yang perlu dilunaskan dan hanya berdaya tahan sekiranya harga minyak mentah kekal dalam julat US$60 hingga US$70 setong.”
Beliau berkata secara sejarahnya, dana tersebut sering bergantung kepada pinjaman ketika tempoh turun naik harga, namun terdapat keadaan di mana kaedah itu tidak mencukupi untuk mengekalkan harga rendah dalam jangka panjang.
Beliau berkata Malaysia telah beralih kepada rangka kerja subsidi yang lebih bersasar, membolehkan tekanan kos diurus secara lebih beransur-ansur sambil mengawal pendedahan fiskal.
Girish berkata Malaysia memulakan pembaharuan subsidi dalam tempoh harga yang agak stabil, manakala Thailand sebahagian besarnya terpaksa menyerap kejutan sebelum melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau menambah bahawa pendekatan Thailand menyebabkan dana tersebut memasuki setiap krisis baharu dalam keadaan sudah terbeban, dengan ruang fiskal yang semakin terhad untuk menyerap kejutan tambahan.
-- BERNAMA