BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

LGM Raih Tujuh Anugerah Inovasi Antarabangsa Di MTE 2026

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) berjaya meraih tujuh anugerah inovasi antarabangsa pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2026 yang berlangsung pada 9-11 April, menerusi penyertaan dalam dua platform iaitu Public Service Innovation Asia (PSIA) dan International Innovation Awards (IIA).

Dalam kenyataan hari ini, LGM menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti komitmennya dalam memacu transformasi industri getah negara ke arah kemampanan dan pendigitalan selaras dengan aspirasi global.

Bagi kategori PSIA, LGM meraih dua Anugerah Emas menerusi sistem MSNR Trace dan aplikasi Malaysian Rubber Exchange (MRE) selain satu Anugerah Perak bagi RRIM RubberHub. 

Menerusi kategori IIA, MSNR Trace turut meraih Anugerah Inovasi Terbaik serta Anugerah Emas, manakala RRIM RubberHub mendapat Anugerah Perak dan aplikasi MRE menerima Anugerah Gangsa.

LGM memaklumkan, MSNR Trace merupakan sistem jejak telus yang memantau rantaian bekalan getah dari ladang hingga ke produk akhir bagi memastikan pematuhan piawaian kemampanan global serta status bebas penebangan hutan. 

Aplikasi MRE berfungsi sebagai platform digital rasmi pasaran getah dengan akses harga masa nyata serta memudahkan transaksi perdagangan.

“RRIM RubberHub merapatkan jurang antara penyelidikan dan pelaksanaan di ladang melalui pemindahan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil,” menurut LGM.

-- BERNAMA