BERITA TERKINI   Kebakaran Kampung Bahagia: Kerajaan Persekutuan salur bantuan segera RM1,500 kepada mangsa terlibat - PM Anwar | Kebakaran Sandakan: KDN ada rekod terperinci tentukan kewarganegaraan dalam proses gantikan dokumen - PM Anwar | Kebakaran Kampung Bahagia: Murid diberi kelonggaran tidak memakai seragam sekolah buat sementara waktu - PM Anwar | Bantuan persekolahan RM300 untuk lebih 400 murid terlibat kejadian kebakaran di Sandakan - PM Anwar | Kebakaran Kampung Bahagia: Kerajaan Persekutuan bantuan segera salur RM1,500 kepada mangsa terlibat - PM Anwar | 

Arka Jual 40 Peratus Kepentingan Dalam Enfrasys Solutions Pada Harga RM43 Juta

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Arka Bhd bercadang untuk menjual 40 peratus kepentingan dalam syarikat sekutunya, Enfrasys Solutions Sdn Bhd (ESSB), kepada Joy Jewel Sdn Bhd (JJSB) pada harga tunai RM43 juta.

Syarikat logistik itu dalam makluman dengan Bursa Malaysia hari ini berkata pihaknya memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) dengan JJSB untuk menjual 800,000 saham biasa dalam ESSB, yang bebas daripada sebarang bebanan dan beserta semua hak yang berkaitan dengannya, mengikut terma dan syarat SPA berkenaan.

Syarikat itu berkata selepas selesainya transaksi berkenaan, ESSB tidak lagi menjadi syarikat sekutu kumpulan berkenaan.

Arka berkata pertimbangan penjualan itu dicapai berdasarkan kepada kerelaan pembeli dan penjual, selepas mengambil kira antara lain, rasional terhadap cadangan penjualan dan gandaan harga kepada pendapatan (price-to-earnings) bagi syarikat-syarikat perbandingan terpilih yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sebanyak RM17.35 juta daripada hasil penjualan akan diperuntukkan sebagai modal kerja am, manakala RM13 juta akan digunakan untuk mengembangkan segmen logistiknya, katanya.

Sejumlah RM10 juta lagi akan digunakan untuk pelaburan yang berpotensi manakala RM2.65 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan berkaitan penjualan berkenaan.

Syarikat itu berkata penjualan yang dicadangkan itu akan membolehkannya menjana keuntungan daripada pegangan bukan kawalan dan mengagihkan semula sumber kepada segmen perniagaan teras.

Cadangan penjualan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai menjelang suku kedua 2026.

-- BERNAMA