BERITA TERKINI   Piala Malaysia: JDT 4-1 KL City FC | Dakwaan permohonan tambahan subsidi BUDI95 tidak benar dan tidak berasas, had 200 liter sebulan kekal - MOF | Pada 6 petang, ringgit hampir mendatar berbanding dolar AS kepada 4.0275/0320 daripada 4.0245/0320 semasa ditutup pada Isnin | Majlis Tindakan Ekonomi Negara teliti pelbagaikan sumber bahan api, perkukuh kerjasama dagang dan jamin input pengeluaran - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global: Special Access Pathway dilaksanakan, pastikan akses keperluan kesihatan kritikal - Akmal Nasrullah | 

Pelabuhan Labuan Perkukuh Peranan Sebagai Hab Sokongan Minyak Dan Gas

LABUAN, 7 April (Bernama) -- Pelabuhan Labuan terus memainkan peranan strategik sebagai hab sokongan industri, khususnya untuk sektor minyak dan gas, dengan kira-kira 70 peratus aktiviti kargonya terkait dengan industri itu.

Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) berkata kargo minyak dan gas mendominasi operasi pelabuhan, melibatkan pengendalian peralatan industri serta sejumlah kecil bahan kimia, saluran paip dan komponen berkaitan tenaga lain, memposisikan Pelabuhan Labuan sebagai pangkalan sokongan penting kepada sektor itu di wilayah Borneo.

Perkara itu diketengahkan semasa lawatan kerja dan sesi taklimat bersama Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong di Pelabuhan Labuan hari ini.

Kargo am menyumbang sehingga 30 peratus daripada keseluruhan aktiviti, yang terdiri daripada barangan berkaitan pengguna seperti bahan binaan. 

Bagaimanapun, jumlah itu agak terhad berbanding pelabuhan lain berikutan rangkaian logistik yang lebih cekap melalui laluan darat dan perkhidmatan feri dari tanah besar Sabah.

Kargo pengguna menyumbang kurang daripada empat peratus, meliputi komoditi tertentu seperti beras, gula, makanan sejuk beku termasuk ayam, daging dan ikan serta produk makanan dan minuman bebas cukai untuk pasaran tempatan.

MPM menjelaskan jumlah kargo pengguna yang agak rendah ini dipengaruhi oleh corak logistik, dengan lebih 80 peratus barangan yang masuk ke Labuan diangkut melalui darat dari Sabah menggunakan lori sebelum dihantar melalui perkhidmatan feri Ro-Ro antara Menumbok dan Labuan.

"Kaedah ini lebih fleksibel dan menjimatkan kos bagi pengimport, menjadikan pelabuhan itu kurang digunakan untuk kargo pengguna," katanya.

Oleh itu, Pelabuhan Labuan terus berfungsi sebagai pelabuhan sokongan industri, khususnya untuk aktiviti berkaitan minyak dan gas.

Lawatan delegasi Kementerian Kewangan ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang peranan pelabuhan dalam menyokong aktiviti ekonomi, perdagangan dan perindustrian di Wilayah Persekutuan Labuan.

MPM merupakan pengendali pelabuhan yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan melalui Lembaga Pelabuhan Labuan, yang bertanggungjawab menguruskan operasi terminal, aktiviti dermaga dan penyelarasan perkapalan secara keseluruhan.

Timbalan Menteri Kewangan dan delegasi turut melawat jeti pelabuhan untuk melihat secara langsung kemudahan operasi dan proses pengendalian kargo.

Megah Port Management adalah sebahagian daripada Lion Logistics Group yang berpangkalan di Labuan,  yang mempunyai kepakaran lebih 30 tahun dalam logistik, maritim dan pengangkutan di peringkat nasional serta serantau.

-- BERNAMA