BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Selasa, walaupun Thailand mengumumkan kawalan lebih ketat terhadap eksport MSM. 

Thailand telah mengenakan kawalan lebih ketat ke atas eksport MSM berkuat kuasa hari ini, sekali gus mewajibkan pengeksport mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Pusat Mengenai Harga Barangan dan Perkhidmatan, bertujuan melindungi bekalan domestik di tengah-tengah peningkatan permintaan biodiesel dan eksport. 

Dalam satu nota, CIMB Securities Sdn Bhd berkata kesan keseluruhan dijangka sederhana, memandangkan bahagian eksport global Thailand yang agak kecil berbanding Indonesia (52 peratus) dan Malaysia (35 peratus).

“Kami melihat ini sebagai menyokong harga MSM, kerana kawalan eksport yang lebih ketat boleh mengekang eksport minyak sawit jangka pendek dari Thailand,” kata firma penyelidikan itu. 

Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata pada prinsipnya, sekatan eksport Thailand sepatutnya menyokong harga MSM yang lebih tinggi. 

“Harga MSM sepatutnya lebih tinggi, bagaimanapun, pasaran turut dipengaruhi oleh pergerakan komoditi berkaitan, termasuk minyak kacang soya dan minyak mentah,” katanya kepada Bernama. 

Pada penutup, kontrak April 2026 dan kontrak Mei 2026 masing-masing susut RM49 kepada RM4,691 setan dan RM4,730 setan, manakala kontrak Jun 2026 berkurang RM46 kepada RM4,765.

Kontrak Julai 2026 merosot RM41 kepada RM4,774 setan, kontrak Ogos 2026 turun RM35 kepada RM4,757 setan, dan kontrak September 2026 menyusut RM32 kepada RM4,729 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 71,360 lot daripada 53,566 pada Isnin, manakala kepentingan terbuka naik sedikit kepada 254,857 kontrak daripada 254,035.

Harga fizikal MSM bagi April Selatan berkurang RM10 kepada RM4,750 setan. 

-- BERNAMA