Rakyat Malaysia Perlu Bersedia Hadapi Tekanan Berpanjangan Pasaran Minyak -- Ahli Ekonomi
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia disarankan bersedia menghadapi tempoh tekanan yang berpanjangan dalam pasaran minyak walaupun konflik di Asia Barat dijangka mereda dalam masa terdekat, kata Profesor Adjung Universiti Teknologi Petronas Samirul Ariff Othman.
Beliau berkata isu utama bukan mengenai ketegangan meningkat atau mereda sebaliknya jurang masa antara gangguan dan pemulihan walaupun laluan perkapalan telah dibuka semula.
Jelasnya, cabaran sebenar Malaysia bukan sahaja berlaku semasa konflik tetapi turut berlanjutan sepanjang tempoh pemulihan sistem tenaga global.
“Pasaran minyak bergantung kepada rangkaian sistem yang saling berkait termasuk ketersediaan kapal tangki, insurans maritim, akses pelabuhan, konfigurasi penapisan serta kontrak bekalan.
“Apabila laluan kritikal seperti Selat Hormuz terganggu, semua sistem ini akan terjejas serentak. Harga mungkin melonjak serta-merta tetapi pemulihan bekalan fizikal mengambil masa yang jauh lebih lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun aliran minyak masih berterusan, beliau berkata kos boleh meningkat mendadak susulan risiko kepada kapal tangki, premium insurans perang, penggunaan laluan alternatif serta caj pengangkutan yang lebih tinggi.
Katanya, keadaan itu dijangka memberi kesan langsung kepada harga bahan api, meningkatkan beban subsidi kerajaan di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) selain mendorong kenaikan kos elektrik, pengangkutan, logistik dan makanan.
Beliau turut menyatakan tanda-tanda awal tekanan di rantau Asia Pasifik termasuk penutupan stesen minyak dan gangguan penerbangan di Filipina, kekurangan bahan api di beberapa kawasan di Australia serta pembatalan kira-kira 1,100 penerbangan oleh Air New Zealand akibat kekurangan bahan api kapal terbang.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah intervensi awal Putrajaya bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju untuk mempelbagaikan sumber tenaga, meneroka laluan penghantaran alternatif serta memperkukuh daya tahan bekalan.
Samirul menyifatkan langkah-langkah yang dicadangkan MTEN sebagai tepat dari segi hala tuju, namun menegaskan ia lebih bersifat penyelesaian jangka sederhana.
Selain itu, beliau menekankan keperluan langkah melibatkan orang ramai seperti penjimatan penggunaan bahan api sebagai sebahagian daripada pengurusan permintaan bagi memanjangkan tempoh bekalan sedia ada ketika sistem berdepan tekanan.
“Keselamatan tenaga kini bukan lagi sekadar soal rizab atau pengeluaran tetapi keupayaan keseluruhan rantaian bekalan untuk bertahan dan itu memerlukan masa untuk diperkukuh semula,” katanya.
-- BERNAMA