Malaysia Melindungi Ekonomi Domestik Menerusi Subsidi Bersasar - Ahli Ekonomi
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kerangka subsidi bersasar dan disiplin dasar Malaysia terbukti berkesan melindungi ekonomi negara daripada kesan kejutan harga tenaga akibat konflik di Asia Barat.
Ketua Ahli Ekonomi Global di Juwai IQI, Shan Saeed berkata kerajaan MADANI telah mengharungi kejutan harga minyak baru-baru ini dengan disiplin dasar yang ketara dan kejelasan institusi berperanan mengekang ketidaktentuan harga tenaga luaran kepada inflasi domestik.
“Pendekatan ini melindungi isi rumah tanpa menganggu mekanisme pasaran, memastikan perlindungan pengguna dan kecekapan ekonomi.
"Ketika Brent menetapkan semula harga antara US$100 hingga US$130 setong, Malaysia berjaya mengawal kesan turun naik harga tenaga luaran daripada melonjakkan inflasi dalam negara dengan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan membenarkan pelarasan harga pasaran terkawal di bahagian/segmen lain,” katanya kepada Bernama.
Pendekatan ini melindungi isi rumah tanpa menganggu mekanisme pasaran, memastikan perlindungan pengguna dan kecekapan ekonomi, katanya.
Ketika artikel ini ditulis (2.55 petang), harga minyak mentah Brent meningkat 2.01 peratus kepada US$104.30 setong.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini berkata subsidi petrol bulanan ditanggung kerajaan meningkat kepada RM2 bilion dan subsidi diesel kepada RM1.2 bilion, jumlah keseluruhan RM3.2 bilion sebulan, melonjak daripada RM700 juta sebelumnya.
Mengenai pembaharuan subsidi, Shan menyifatkan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebagai perubahan struktur dalam tadbir urus, memberi manfaat kepada kira-kira 14.8 juta penerima dengan had bulanan sebanyak 300 liter.
"Inisiatif ini bukan lagi rejim subsidi; ia merupakan sokongan ekonomi bersasar disampaikan melalui penetapan harga tenaga. Peningkatan kecekapan adalah nyata, merangkumi pengurangan ketirisan, pengagihan fiskal lebih baik, kestabilan penggunaan berterusan dan mengekalkan pendapatan isi rumah sebenar tanpa menyebabkan gangguan permintaan tinggi atau ketidaktentuan fiskal," katanya.
Shan juga mengetengahkan tiga dasar utama yang memperkukuh kestabilan ekonomi, iaitu subsidi ketepatan, liberalisasi harga terancang dan inflasi terkawal pada kira-kira 1.4 hingga 1.6 peratus setakat ini, pada 2026.
“Peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada pemberian bersasar memperkukuh kualiti fiskal dan kredibiliti polisi, manakala pemindahan kos sebahagiannya memelihara disiplin harga serta melindungi ekonomi daripada kejutan inflasi yang mengejut.
"Kejutan harga tenaga tidak mencetuskan inflasi pusingan kedua, ia mengekalkan kuasa beli dan mengukuhkan keyakinan pasaran," katanya.
Melihat ke depan, Shan menekankan bahawa jika harga minyak global kekal tinggi secara struktur, pendekatan dasar Malaysia mesti berkembang daripada perlindungan jangka pendek kepada penentukuran lebih tepat dan berpandangan jauh ke hadapan.
“Jika harga minyak kekal pada paras yang tinggi, fasa dasar seterusnya mesti tertumpu kepada memperkukuh struktur mekanisme sasaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata ia akan melibatkan peralihan ke arah sistem kelayakan berasaskan data masa nyata untuk meningkatkan lagi kecekapan subsidi dan meminimumkan ketirisan.
Pada masa sama, memperkukuh tunjang fiskal adalah sangat penting termasuk mengekalkan pengurangan defisit kerajaan pada paras kira-kira 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk mempertahankan kredibiliti kedaulatan negara dan memastikan keyakinan pelabur terus mampan walaupun dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu."
Shan juga berkata memajukan strategi daya tahan tenaga jangka panjang Malaysia adalah penting.
“"Ini termasuk memperkukuh penampan nasional, mempelbagaikan rantaian bekalan tenaga dan mengurangkan pergantungan kepada minyak secara struktur untuk lebih bersedia menghadapi kejutan luar pada masa depan.
“Objektifnya jelas, bukan untuk menanggung kos ketidaktentuan harga selama-lamanya tetapi untuk membina daya tahan terhadapnya," katanya.
Daripada perspektif strategik lebih luas, Shan berkata respons Malaysia terhadap kejutan harga tenaga baru-baru ini mencerminkan kematangan dan keselarasan dasar yang semakin berkembang walaupun di bawah tekanan.
Beliau berkata kerajaan telah berjaya mencapai keseimbangan antara tiga keutamaan kritikal, iaitu melindungi pengguna, mengekalkan disiplin fiskal dan mengekalkan fungsi pasaran.
“Rangka kerja ketika ini masih kukuh. Bagaimanapun, imperatif strategik sekarang adalah untuk menukar kestabilan kitaran ini kepada daya tahan struktur merentasi domain tenaga dan fiskal,” katanya.
"Dasar tenaga bukan lagi sekadar alat taktikal; ia merupakan asas kepada kredibiliti makroekonomi. Pasaran minyak tidak memberi ganjaran kepada ramalan, sebaliknya harga ditentukan oleh ketidaktentuan, geopolitik, dan risiko bekalan dalam masa sebenar," katanya.
-- BERNAMA