BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

PAAB Lancar Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan Pertama Berteraskan Pembiayaan Biru

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) telah memperkenalkan rangka kerja kewangan Islam mampan pertama di Malaysia yang menggabungkan elemen pembiayaan biru (blue finance), dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bertindak sebagai penasihat penstrukturan kemampanan tunggal.

PAAB, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk menyusun semula industri perkhidmatan air negara ke arah kecekapan lebih tinggi, kualiti perkhidmatan bertambah baik dan kemampanan jangka panjang.

Dalam kenyataan bersama hari ini, PAAB dan Maybank IB memaklumkan bahawa rangka kerja itu menandakan pencapaian penting sebagai yang pertama di Malaysia mengintegrasikan elemen pembiayaan biru dalam struktur kewangan Islam.

“Rangka kerja ini membolehkan PAAB melaksanakan instrumen pembiayaan biru seperti Blue Sukuk dan pembiayaan Islam lain selaras dengan Guidelines for Blue Finance Version 2.0 yang dibangunkan oleh International Finance Corporation pada 2025, serta Bonds to Finance the Sustainable Blue Economy – A Practitioner’s Guide yang diterbitkan oleh International Capital Market Association pada 2023.

“Instrumen pembiayaan biru PAAB akan menyokong peranannya dalam memperkukuh kecekapan, daya tahan dan kemampanan sektor air Malaysia, selain menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut kenyataan itu.

Rangka kerja ini telah dinilai secara bebas oleh RAM Sustainability, yang memberikan penarafan ‘Platinum’ di bawah second-party opinion (SPO), mengesahkan keselarasan dengan piawaian pembiayaan mampan tempatan, serantau dan antarabangsa.

“PAAB merupakan organisasi pertama yang mencapai pengiktirafan Platinum, tahap tertinggi di bawah penilaian SPO RAM Sustainability, sekali gus mencerminkan keteguhan tadbir urus kemampanan dan memberi jaminan kukuh kepada pelabur dalam aktiviti pengumpulan modal di bawah rangka kerja ini,” menurut kenyataan sama.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar, berkata rangka kerja itu mengukuhkan peranan PAAB sebagai pemegang amanah aset air negara dan pemangkin transformasi sektor air.

“Dengan mengintegrasikan pembiayaan mampan dalam strategi, PAAB menyokong agenda nasional, memastikan setiap aset atau projek yang dibiayai meningkatkan daya tahan, kecekapan dan kemampanan, serta menjamin keselamatan air untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, Michael Oh-Lau, berkata kerjasama itu selaras dengan strategi ROAR30 Maybank untuk menggerakkan RM300 bilion pembiayaan mampan menjelang 2030, serta sasaran RM100 bilion pembiayaan ekonomi baharu bagi menyokong sektor ekonomi rendah karbon, inklusif dan bersedia masa depan.

Beliau berkata kerjasama itu dibina berasaskan kejayaan Maybank menggerakkan RM176.12 bilion pembiayaan mampan antara 2021 hingga 2025.

“Dengan ekonomi biru muncul sebagai keutamaan nasional, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PAAB dalam menstrukturkan Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan pertama Malaysia yang mengintegrasikan ciri pembiayaan biru.

“Inisiatif ini menangani keperluan mendesak bagi modal mampan dalam infrastruktur air, di samping menyokong usaha negara mengurangkan kadar air tidak berhasil,” katanya.

-- BERNAMA