Mengemudi Cabaran Kalendar F1 2026 Ketika Konflik Asia Barat
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Ketika Formula 1 (F1) membuka kalendar 2026 bermula di Melbourne, Australia dari 6 hingga 8 Mac, sukan permotoran itu kini menghadapi cabaran geopolitik yang paling sukar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perkembangan terkini khususnya berkaitan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyebabkan pusingan yang dijadual berlangsung di Bahrain dari 10 hingga 12 April serta di Arab Saudi dari 17 hingga 19 April ini dibatalkan.
Hari ini, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengumumkan Grand Prix Bahrain dan Grand Prix Arab Saudi dibatalkan dan tiada penggantian perlumbaan.
Keputusan FIA itu sekali gus mengurangkan perlumbaan F1 musim ini kepada hanya 22 pusingan.
Bagi kepimpinan F1, keputusan akhir itu berasaskan tiga faktor utama iaitu risiko undang-undang, obligasi komersial dan kerumitan rangkaian logistik global.
Sebagai tindak balas, Formula One Group dan FIA selaku badan pentadbir sukan permotoran, telah mengutamakan pemerhatian keselamatan sebelum memuktamadkan perlumbaan bagi kalendar April.
Walaupun Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Malaysia merupakan litar alternatif Gred 1 dengan berkeupayaan teknikal namun proses untuk membuat keputusan itu melibatkan lebih daripada sekadar mengenal pasti litar yang berpotensi.
Perkara itu memerlukan pertimbangan antara protokol keselamatan, obligasi kontrak serta rangkaian logistik global yang kini telah terjejas akibat gangguan transit di Asia Barat.
Kedudukan Undang-undang “Force Majeure”
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Formula 1, Stefano Domenicali berkata sukan itu bersedia meneliti “semua pilihan” berkaitan perlumbaan yang akan berlangsung di Asia Barat.
Beliau berkata dalam pada itu, pihaknya tetap mengutamakan keselamatan pasukan, kalangan pegawai dan kakitangan serta promoter acara.
Domenicali berkata sekitar 3,000 tenaga kerja diperlukan untuk bergerak ke seluruh dunia bagi setiap perlumbaan dan pada masa sama, kira-kira 900 tan peralatan dihantar melalui udara, manakala selebihnya dibawa menggunakan pengangkutan laut.
Hal itu jelas menggambarkan betapa besarnya cabaran logistik yang perlu diuruskan.
Oleh itu, pihak Formula 1 memilih pendekatan yang berhati-hati dan terancang, bukannya tergesa-gesa membuat keputusan sebelum waktunya.
Mengikut undang-undang England yang mengurus tadbir perjanjian penganjuran, Formula 1 lazimnya memerlukan faktor undang-undang yang jelas sebelum sesuatu perlumbaan boleh dibatalkan tanpa menanggung liabiliti kontrak yang tinggi.
Antaranya termasuk nasihat perjalanan rasmi daripada kerajaan atau sekatan terhadap ruang udara.
Kontrak F1 era moden melibatkan komitmen penyiaran dan penajaan bernilai berbilion dolar.
Oleh yang demikian, sebarang keputusan untuk membatalkan atau memindahkan perlumbaan memerlukan persetujuan bersama antara pihak promoter, pasukan pelumbaan dan pihak insurans bagi memastikan kerangka komersial sukan itu terus terpelihara.
Geopolitik dan Kalendar Perlumbaan
Formula 1 sebelum ini pernah mengubah suai kalendar perlumbaannya apabila dunia dilanda ketidakstabilan geopolitik.
Pada 2022, Grand Prix Rusia di Sochi dibatalkan apabila Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine. Susulan itu, F1 menamatkan kontrak jangka masa panjangnya dengan promoter perlumbaan.
Lebih awal lagi, pada 2011, Grand Prix Bahrain juga terpaksa dibatalkan apabila berlakunya gelombang protes besar-besaran yang berkait dengan gerakan prodemokrasi Arab Spring.
Kebimbangan terhadap keselamatan pasukan dan penonton mendorong FIA menangguhkan acara tersebut sebelum akhirnya menggugurkan terus daripada jadual musim itu.
Kini, konflik terbaru Asia Barat yang melibatkan Iran, Israel dan AS mula menjejaskan persiapan musim 2026.
Ujian tayar basah Pirelli yang dijadual berlangsung pada penghujung Februari di Litar Antarabangsa Bahrain terpaksa dibatalkan secara mengejut apabila kebimbangan mengenai keselamatan tercetus ekoran serangan peluru berpandu di rantau itu.
Susulan keputusan FIA hari ini, kalendar musim 2026 akan menjadi singkat kepada hanya 22 perlumbaan daripada 24 perlumbaan.
Situasi ini juga mengingatkan kembali kepada Grand Prix Arab Saudi 2022, yang tetap diteruskan walaupun berlaku serangan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi ke atas depot minyak Aramco berhampiran ketika sesi latihan sedang berlangsung.
Pertimbangan Komersial
Dari sudut sejarah, Formula 1 biasanya bertindak proaktif bagi menggantikan perlumbaan yang dibatalkan untuk memastikan jumlah minimum perlumbaan yang ditetapkan oleh penyiar dapat dipenuhi.
Bagaimanapun, dengan kalendar kini menetapkan 24 perlumbaan, ambang minimum dalam kontrak tersebut sebenarnya sudah pun dipenuhi.
Dagi segi praktikal, “jaringan keselamatan 22 perlumbaan” diwujudkan bagi kalendar 24 perlumbaan, sekali gus membolehkan F1 menyerap pembatalan tanpa mengakibatkan penalti penyiaran.
Langkah itu memberikan penganjur lebih fleksibiliti untuk membatalkan sama sekali perlumbaan daripada tergesa-gesa mencari litar pengganti.
Negara tuan rumah yang kaya dengan sumber minyak seperti Arab Saudi dan Bahrain dianggarkan membayar lebih US$50 juta (US$1 = RM3.91) setiap tahun sebagai yuran persetujuan untuk menjadi tuan rumah kejuaraan.
Sekiranya F1 memindahkan perlumbaan ke litar sandaran di Eropah seperti Litar Imola di Itali, Litar Paul Ricard di Perancis, atau bahkan SIC di Malaysia juga, litar tersebut dijangka tidak dapat menampung fi US$50 juta itu dalam tempoh notis yang singkat.
Semasa pandemik COVID-19 pada 2020, F1 pernah mengatasi cabaran itu dengan menganjurkan perlumbaan di beberapa litar melalui perjanjian jangka masa pendek dengan pemilik trek, bagi memastikan komitmen siaran televisyen dapat dipenuhi.
Bagaimanapun, memandangkan kalendar musim 2026 sudah pun merangkumi 24 perlumbaan, keputusan FIA memihak kepada pembatalan perlumbaan, berbanding menerima bayaran penganjuran yang jauh lebih rendah yang boleh menjejaskan penanda aras komersial untuk kontrak masa hadapan.
Mengharungi Laluan Sempit Logistik
Logistik merupakan satu lagi cabaran utama.
Penganjuran satu perlumbaan memerlukan pengangkutan bagi hampir 900 tan peralatan merentas benua melalui udara dan laut sekali gus penyelarasan kakitangan serta penghantaran kargo menjadi satu cabaran operasi yang besar.
Sistem penghantaran “leapfrog” F1 yang diuruskan oleh DHL bergantung kepada beberapa kumpulan peralatan yang kurang penting yang dihantar melalui laut, manakala komponen penting seperti kereta dan jentera enjin dihantar melalui udara.
Namun, gangguan terhadap penghantaran global serta perubahan aliran kargo yang melalui Timur Tengah merumitkan jadual itu.
Dari segi geografi, Sepang merupakan pilihan yang paling munasabah selepas Grand Prix Jepun pada 29 Mac.
Bagaimanapun, mengubah laluan sistem penghantaran F1 dengan notis singkat jauh lebih rumit daripada sekadar menambah satu lagi litar dalam kalendar perlumbaan.
Kebijaksanaan Komersial Dan Kepentingan Negara
Sebarang potensi kembalinya perlumbaan F1 ke Malaysia juga memerlukan struktur komersial yang kukuh.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah kepada 19 edisi Grand Prix Malaysia di SIC antara 1999 hingga 2017.
Namun, kerajaan Malaysia telah mengulangi bahawa pada masa ini tiada rancangan untuk menghidupkan semula perlumbaan tahunan tersebut berikutan kos penajaan yang tinggi serta kalendar perlumbaan global juga sudah padat.
Tambahan pula Petronas memberi keutamaan kepada pelaburan domestik di samping komited untuk membuat pembayaran dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan pada 2026.
Oleh yang demikian struktur kewangan yang diperlukan untuk menjadi hos Grand Prix kekal menjadi pertimbangan utama.
Musim Perlumbaan berada di Persimpangan
Keputusan muktamad FIA mengenai Grand Prix Bahrain dan Grand Prix Arab Saudi menyebabkan Formula 1 mungkin menghadapi pengurangan perlumbaan di pertengahan musim yang jarang berlaku atau perubahan logistik yang kompleks.
Walaupun kesiapsiagaan teknikal di litar Sepang dan sokongan orang ramai jelas ketara namun laluan untuk F1 kembali ke Malaysia akan dipengaruhi oleh undang-undang antarabangsa, pertimbangan komersial serta rangkaian logistik global yang sedang tertekan.
-- BERNAMA