Sektor Perbankan Berdaya Tahan, Disokong Penampan Modal Yang Kukuh -- CIMB Securities
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Sektor perbankan terus menawarkan ciri-ciri daya tahan dan kekal dilindungi dengan baik walaupun terdapat ketidaktentuan geopolitik yang meningkat, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Ia berkata sektor berkenaan kekal disokong oleh penampan modal yang teguh dengan nisbah CET1 sektor yang jauh melebihi keperluan kawal selia dan kedudukan mudah tunai yang kukuh.
"Asas sektor kekal berdaya tahan, disokong oleh penampan modal yang kukuh, mudah tunai dan kerugian pinjaman (CET 1 pada 14.5 peratus, nisbah perlindungan mudah tunai pada 152 peratus dan rizab kerugian pinjaman pada 125.9 peratus setakat Januari 2026)," katanya dalam nota penyelidikan.
Di peringkat makro, CIMB Securities berkata Malaysia sebagai pengeluar tenaga bersih berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi cabaran ekonomi global di tengah ketegangan geopolitik yang berterusan dan harga minyak mentah yang tinggi.
"Bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpanjangan (dengan harga minyak yang tinggi) boleh memberi tekanan kepada ekonomi secara keseluruhan yang akhirnya akan mempengaruhi sektor perbankan.
"Dalam senario sebegini, kami cenderung untuk menyemak semula penilaian dan unjuran kami, berdasarkan impak peringkat pertama dan kedua terhadap pendedahan bank-bank," katanya.
Sementara itu, CIMB Securities berkata lima bank iaitu Public Bank Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank), AMMB Holdings Bhd, RHB Bank Bhd dan Affin Bank Bhd telah melaporkan keputusan yang selaras dengan jangkaan mereka dan secara amnya konsisten dengan anggaran konsensus semasa musim pendapatan suku keempat 2025.
Ia berkata, pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan dipacu oleh pengurangan peruntukan bersih dan pemulihan rosot nilai.
"Oleh itu, kami telah menaikkan unjuran keuntungan bersih teras untuk Alliance dan HLB," katanya.
Mengenai prestasi, CIMB Securities berkata Public Bank kekal sebagai pencapaian terbaik mengatasi bank-bank lain dengan keuntungan bersih suku keempat 2025 meningkat 1.8 peratus berbanding suku sebelumnya atau 4.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih teras tahun kewangan 2025 pula meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) kekal pada 12.8 peratus, yang merupakan terbaik dalam industri.
Ia berkata RHB menunjukkan momentum yang kukuh dengan keuntungan bersih 2025 meningkat 7.8 peratus tahun ke tahun dipacu oleh pemulihan margin faedah bersih pada suku keempat 2025 dan pemulihan rosot nilai.
Maybank memperkukuh daya tahannya dengan ROE tahun kewangan 2025 pada 11.7 peratus, disokong oleh penampan modal yang kukuh dan pembayaran dividen yang berterusan di bawah 70 peratus.
"Prestasi sektor yang lebih luas menunjukkan bank-bank Malaysia memasuki 2026 bukan dari kedudukan pengembangan yang agresif tetapi dari kedudukan daya tahan dan fleksibiliti modal yang diperkukuh," katanya.
CIMB Securities menambah bahawa ia mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor perbankan.
-- BERNAMA