BERITA TERKINI   Laporan awal menunjukkan terdapat 36 orang rakyat Malaysia daripada pelbagai NGO di atas kapal Flotila Sumud Global - Kementerian Luar | GSF 2.0: Seramai 175 aktivis diculik termasuk 10 rakyat Malaysia dan dibawa ke Israel setakat ini - SNCC | GSF 2.0: Sebanyak 21 kapal dipintas ketika menghampiri perairan Greece setakat 7 malam ini - SNCC | GSF 2.0 : Setakat 7 malam ini, kapal Tam Tam tidak dipintas, tetapi dirosakkan rejim Israel - SNCC | Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | 

Malaysia Airlines Lanjutkan Penggantungan Perkhidmatan Laluan Doha Sehingga 20 Mac

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan sementara perkhidmatan bagi laluan Doha sehingga 20 Mac, 2026 susulan perkembangan berterusan melibatkan persekitaran keselamatan di negara terbabit.

Sebelum ini, perkhidmatan bagi laluan Doha digantung bermula 28 Feb, 2026 berikutan penutupan ruang udara yang menjejaskan negara itu akibat konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.

Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan syarikat penerbangan itu terus memantau rapat situasi tersebut melalui penilaian risiko berterusan serta Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang berkaitan sebelum menyambung kembali operasi.

“Syarikat penerbangan itu juga meningkatkan kapasiti pesawat berbadan lebar antara Asia dan Eropah untuk menyokong perjalanan seterusnya serta menyatukan semula ahli keluarga, dengan penerbangan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan yang terjejas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, semua perkhidmatan lain oleh syarikat penerbangan negara tersebut, termasuk laluan Jeddah, Madinah, London dan Paris, terus beroperasi seperti yang dijadualkan.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan tertinggi kami,” tambah MAG.

-- BERNAMA