BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | 

AS Siasat Lebihan Kapasiti Pengeluaran Di 15 Negara Termasuk Malaysia, Kesatuan Eropah

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) telah memulakan siasatan terhadap tindakan, dasar dan amalan ke atas 15 negara, termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU), di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan dengan kapasiti berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan.

Wakil Perdagangan AS (USTR) Jamieson Greer dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Washington pada Rabu berkata siasatan itu akan menentukan sama ada tindakan, dasar dan amalan tersebut tidak munasabah atau diskriminatif, dan membebankan atau menyekat perdagangan AS.

“Negara yang tertakluk kepada siasatan ini ialah China, Kesatuan Eropah, Singapura, Switzerland, Norway, Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand, Korea, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India," katanya.

Beliau berkata usaha perindustrian semula di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump terus menghadapi cabaran yang ketara.

Selepas memulakan siasatan, USTR mesti mengadakan rundingan dengan negara-negara yang tindakan, dasar atau amalannya sedang disiasat.

Greer telah meminta rundingan dengan kerajaan-kerajaan negara berikut -- China, Kesatuan Eropah, Singapura, Switzerland, Norway, Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand, Korea, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India.

Penyata ulasan (docket) berkaitan siasatan tersebut akan dibuka pada 17 Mac, 2026.

-- BERNAMA