Johor Sasar Pelaburan RM140 Bilion Tahun Ini

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 9 Mac (Bernama) -- Selepas mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi negara pada tahun lepas sebanyak RM110 bilion, Johor menyasarkan untuk meningkatkan lagi momentum pertumbuhan pelaburan kepada RM140 bilion pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata walaupun ada pihak beranggapan sasaran itu sukar dicapai, namun beliau optimis ia boleh direalisasikan susulan kejayaan perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor (JS-SEZ) yang berjaya menarik pelaburan RM110 bilion hanya dalam tempoh setahun selepas dimeterai. 

“Saya tahu ia mungkin kedengaran keterlaluan atau ada yang mungkin mempersoalkan sama ada ia boleh dicapai. Namun, saya percaya kita boleh mencapainya sebab RM110 bilion yang dicatatkan untuk tahun lepas juga pada mulanya dianggap mustahil.

“Saya tahu potensi Johor adalah besar dan kita boleh melaksanakannya kalau kita benar-benar berusaha ke arah itu,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Sesi temu bual itu diketuai oleh Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, kediaman rasmi Menteri Besar Johor di sini semalam.  

Onn Hafiz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap menyifatkan angka pelaburan diluluskan itu sebagai menakjubkan dan melihat perjanjian JS-SEZ yang dimeterai pada Januari tahun lepas sebagai permulaan.

Beliau berkata pelancaran Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ dalam masa terdekat ini dijangka menjadi pemangkin utama yang akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelan induk itu akan dilancarkan pada 30 Mac ini di sini yang merangkumi insentif, peluang pelaburan dan kerangka operasi JS-SEZ.

JS-SEZ kini merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai dan Sedenak.

Ditanya sama ada lebih banyak misi perdagangan akan dibuat bagi memenuhi sasaran pelaburan berkenaan, Onn Hafiz berkata perkara itu terdapat dalam perancangan kerajaan negeri memandangkan banyak syarikat yang berminat untuk melabur di Johor. 

“Misalnya syarikat dari Amerika Syarikat, Singapura, China, Korea Selatan dan Jepun, mereka berminat nak masuk (melabur). Malah, setiap kali saya buat lawatan ke luar negara, ramai yang ingin berjumpa tetapi tidak sempat disebabkan kekangan masa,” katanya. 

Sehubungan itu, katanya beliau mahu ke Shanghai sekali lagi untuk berjumpa pelabur berpotensi yang pernah ditemuinya semasa mengadakan lawatan kerja ke China pada Disember tahun lepas. 

Menariknya, katanya promosi pemasaran yang agresif tidak lagi diperlukan untuk menarik pelabur berikutan kerjasama Johor dengan Singapura melalui JS-SEZ telah meningkatkan keyakinan syarikat asing untuk melabur di negeri ini. 

“Mereka (syarikat asing) melihat kerjasama Johor dengan Singapura dan ini memberi keyakinan kepada syarikat luar. Singapura mempunyai reputasi yang amat baik,” katanya.

Dalam lawatan kerja sebelum ini, Johor menerima komitmen pelaburan kira-kira RM900 juta daripada syarikat berteknologi tinggi China, Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd menerusi anak syarikatnya di Malaysia, Singda Superalloy (Malaysia) Sdn Bhd. 

-- BERNAMA