BERITA TERKINI   GSF 2.0: Seramai 175 aktivis diculik termasuk 10 rakyat Malaysia dan dibawa ke Israel setakat ini - SNCC | GSF 2.0: Sebanyak 21 kapal dipintas ketika menghampiri perairan Greece setakat 7 malam ini - SNCC | GSF 2.0 : Setakat 7 malam ini, kapal Tam Tam tidak dipintas, tetapi dirosakkan rejim Israel - SNCC | Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | Mahkamah Majistret Tenom perintahkan Ebit Lew membela diri atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual  | 

Kerajaan Peruntuk RM2.4 Bilion Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah Bagi Suku Pertama 2026 - Liew

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk suku pertama 2026, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata setakat ini kerajaan telah menyalurkan bayaran STR Fasa 1 kepada penerima yang layak dengan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Katanya selaras dengan pengumuman Perdana Menteri hari ini, bayaran STR Fasa 2 akan diawalkan dan dibayar secara berperingkat mulai esok (10 Mac).

“Bayaran Fasa 2 ini akan dinikmati lebih lima juta penerima menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Roderick Wong Siew Lead mengenai status terkini penerima STR serta sebab utama permohonan penerima yang diluluskan pada tahun-tahun sebelumnya ditolak pada tahun ini, selain langkah kerajaan bagi memastikan golongan yang layak tidak tercicir.

Liew berkata lebih lapan juta penerima yang layak dengan jumlah bayaran sebanyak RM15 bilion telah direkodkan bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat kepada hampir sembilan juta penerima pada 2026 susulan pembukaan proses permohonan baharu, rayuan dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun, katanya.

“Antara sebab utama permohonan ditolak yang dikenal pasti termasuk pemohon meninggal dunia, pendapatan melebihi syarat kelayakan, mempunyai rekod dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta status perkahwinan yang memerlukan pengesahan,” kata Liew.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan bekerjasama dengan lebih 80 agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Akauntan Negara, Bendahari Negeri serta Kumpulan Wang Amanah Persaraan bagi memastikan proses penyaluran bantuan yang lebih tepat.

-- BERNAMA