BERITA TERKINI   Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan diadakan pada 20 Jun di PICCA Butterworth - Fahmi | Sambutan HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada Jun ini dijangka himpun kira-kira 1,000 pengamal media - Fahmi | Agong perkenan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu - KSN | 

Amir Hamzah Adakan Pertemuan Dua Hala Bersama Timbalan PM Thailand

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) - Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Thailand, Dr Ekniti Nitithanprapas di Kementerian Kewangan Thailand.

Pertemuan tersebut menjadi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi semasa, katanya menerusi hantaran di laman rasmi media sosial ‘X’.

Turut bersama dalam pertemuan berkenaan ialah Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Amir Hamzah berkata pertemuan itu pada Jumaat itu juga meluaskan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Thailand.

Malaysia dan Thailand menetapkan sasaran perdagangan dua hala AS$30 bilion menjelang 2027, dengan fokus pada perdagangan rentas sempadan, industri halal, dan getah. 

Projek infrastruktur seperti Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok dan jajaran jalan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam-Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dijangka meningkatkan perdagangan, pelaburan, dan pelancongan.

Amir Hamzah dan Abdul Rasheed berada di Bangkok baru-baru ini untuk menghadiri “Persidangan Asia Pada 2050” anjuran Bank of Thailand dengan kerjasama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Persidangan itu menghimpunkan pakar, pembuat dasar dan pemimpin industri dari seluruh rantau ini bagi menggalakkan pertukaran maklumat serta pemikiran inovatif mengenai cabaran dan peluang masa depan rantau ini.

-- BERNAMA