PAC Syor Perkukuh Tadbir Urus Perolehan Ladang Sawit FELCRA

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan bagi menangani kelemahan tadbir urus dalam proses perolehan, penilaian harga dan hasil sawit  oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Selain itu, turut disyorkan pematuhan kontrak berkaitan pengurusan perolehan ladang sawit oleh badan berkenaan.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata jawatan kuasa itu mengesyorkan beberapa perkara untuk dilaksanakan pihak berkaitan.

Katanya, FELCRA perlu melaksanakan penilaian bebas oleh perunding luar bertauliah bagi semua perolehan ladang komersial baharu.

"Sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mewajibkan penilaian pihak ketiga selepas tarikh kuat kuasa pada 15 Ogos 2025 mesti dikenakan tindakan tatatertib atau perundangan yang tegas tanpa kompromi.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pula perlu meluaskan skop kawal selia dan pemantauan merangkumi tadbir urus serta keputusan perolehan aset strategik termasuk yang dibiayai menggunakan dana dalaman syarikat dan tidak terhad kepada projek di bawah peruntukan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata FELCRA hendaklah mematuhi SOP baharu yang menetapkan garis masa minimum antara 15 hingga 30 hari bagi menandatangani perjanjian perolehan ladang komersial baharu.

“FELCRA juga hendaklah melaksanakan audit dalaman secara suku tahunan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap SOP yang diperkukuhkan, khususnya melibatkan penilaian bebas pihak ketiga serta kehadiran fizikal wakil kementerian dalam mesyuarat yang mempertimbangkan perolehan ladang komersial baharu.

"Laporan audit ini perlu dibentangkan kepada Lembaga Pengarah FELCRA untuk pertimbangan lanjut," katanya.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata FELCRA dikehendaki menyemak semula dan membuat pengiraan terperinci unjuran Pulangan Pelaburan (ROI) yang lebih realistik dengan menggunakan kaedah penilaian yang wajar serta mengambil kira semua kos terlibat.

Beliau berkata FELCRA perlu memastikan program pemulihan ladang yang kurang berdaya maju diteruskan dan diperluas dengan pelan pemantauan prestasi lebih ketat berasaskan petunjuk prestasi utama yang jelas.

“Ini bagi memastikan pelaburan yang dibuat mampu menjana pulangan seperti disasarkan dan menyumbang secara langsung kepada keuntungan syarikat.

“FELCRA juga hendaklah merangka dan melaksanakan pelan strategik jangka sederhana dan panjang dengan sasaran jelas untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing menerusi pelan mekanisasi komprehensif serta penyediaan kemudahan asas yang lebih baik bagi menarik tenaga kerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata KKDW dan FELCRA perlu menilai serta menetapkan semula sasaran perolehan simpanan tanah yang lebih realistik dengan mengambil kira keupayaan kewangan FELCRA di samping memastikan pelan perolehan yang jelas serta jaminan sumber pembiayaan mencukupi bagi mengelakkan risiko terhadap kelestarian kewangan syarikat dalam menampung kos operasi jangka panjang.

“Kementerian Kewangan dan KKDW hendaklah memperkukuh keanggotaan Lembaga Pengarah dengan melantik pihak luar yang mempunyai kepelbagaian kepakaran bagi memantapkan tadbir urus FELCRA,” katanya.

-- BERNAMA