Lonjakan Permintaan LNG Malaysia Dijangka Sokong Pertumbuhan Ekonomi - CIMB
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Eksport Gas Asli Cecair (LNG) negara yang kukuh memberi kelebihan kepada Malaysia daripada kenaikan harga gas, dengan anggaran setiap kenaikan US$5 per juta British Thermal Unit (mmbtu) dapat menyumbang kira-kira 1.23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam akaun semasa.
CIMB Treasury and Markets Research berkata Malaysia mencatat lebihan perdagangan minyak dan gas bersih walaupun merupakan pengimport minyak mentah bersih, hasil daripada kapasiti eksport LNG yang tinggi.
“Secara keseluruhan, Malaysia akan menjadi satu-satunya pengeksport LNG utama dunia (termasuk Indonesia, pengeksport LNG lain, dan Trinidad dan Tobago) yang mencatat peningkatan bersih dalam akaun semasa.
“Ini menjadikan kedudukan luaran dan mata wang Malaysia dijangka berbeza dengan ketara berbanding rakan serantau yang mungkin menghadapi tekanan lebih lanjut pada imbangan akaun semasa mereka,” kata nya dalam satu nota penyelidikan.
Berkaitan inflasi, CIMB berkata dengan andaian kadar ringgit dan dolar AS kekal sekitar RM3.85 dan harga bahan api BUDI95 tidak berubah, kenaikan US$10 setong minyak mentah Brent dijangka meningkatkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 peratus pada 2026, mengambil kira kenaikan harga RON95 dan diesel tanpa subsidi.
“Jika mengikut harga pasaran, setiap kenaikan US$10 setong minyak mentah Brent dijangka menaikkan harga ekonomi RON95 sekitar 10 peratus, yang sepatutnya menambah kira-kira 55 mata asas kepada inflasi keseluruhan sekiranya tiada subsidi BUDI95, dengan kos fiskal tambahan sekitar RM3.8 bilion setahun.
“Sekiranya minyak mentah Brent mencecah US$100 setong, kerajaan boleh menaikkan harga BUDI95 kembali kepada RM2.05 seliter, menambah lagi 10 mata asas kepada inflasi keselurhan sambil mengurangkan bil subsidi tahunan sekitar RM1 bilion,” katanya.
CIMB berkata kesan terhadap inflasi dijangka masih terkawal pada tahap ini, justeru kebarangkalian pelarasan menaik OPR adalah rendah meskipun senario berkenaan berlaku.
Dari segi fiskal, setiap kenaikan US$10 setong minyak mentah Brent dijangka menambah hasil berkaitan petroleum sekitar RM3.5 bilion. Pada masa sama, subsidi tahunan RON95 dan diesel selepas rasionalisasi dijangka meningkat masing-masing sebanyak RM3.8 bilion dan RM1.3 bilion, menghasilkan kesan fiskal bersih sekitar RM1.6 bilion.
Selain itu, kenaikan US$5/MMBtu dalam harga gas dijangka menambah subsidi LNG sekitar RM500 juta.
Bagaimanapun, CIMB berkata dengan ringgit yang mengukuh hampir tujuh peratus sejak pembentangan Belanjawan 2026, kesan fiskal bersih daripada kenaikan harga minyak daripada anggaran awal US$10 setong dijangka minimum berbanding unjuran asal dalam Belanjawan 2026.
-- BERNAMA