Strategi Semikonduktor Nasional Tarik Pelaburan RM59.85 Bln Bagi Jan 2024-Sept 2025
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia merekodkan kemasukan pelaburan sebanyak RM59.85 bilion bagi tempoh Januari 2024 hingga September 2025.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata jumlah tersebut merangkumi Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM56.8 bilion dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) sebanyak RM3.05 bilion.
“Jumlah kemasukan pelaburan tersebut benar-benar diterima. Ini bermaksud projek telah mula berjalan.
“Prestasi ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju industri yang digariskan oleh NSS,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven yang ingin mengetahui status terkini serta perancangan kementerian dalam melaksanakan Fasa 1 NSS setakat Januari 2026, dan sejauh mana NSS telah mengintegrasikan pembangunan NS Semiconductor Valley (NSSV) dalam koridor Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
Sim berkata NSS kini berada dalam fasa pelaksanaan aktif, dengan penekanan kepada pengukuhan rantaian nilai berteknologi tinggi, pembangunan modal insan berkemahiran, serta pemilikan dan pengkomersialan harta intelek tempatan, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Beliau berkata NSS mempunyai tumpuan strategik untuk mengalihkan kedudukan Malaysia daripada aktiviti back-end (kurang bernilai tinggi) kepada aktiviti nilai tinggi front-end, seperti reka bentuk litar bersepadu dan pembuatan wafer.
“Sejajar dengan aspirasi ini, pembangunan NSSV yang terletak di Negeri Sembilan telah diintegrasikan ke dalam NSS sebagai enjin pertumbuhan baharu Fasa 1.
“NSSV, juga dikenali sebagai Parcel F dalam Pelan Induk MVV 2.0, telah diwartakan sebagai zon pembangunan perdana di bawah Kluster Elektrikal dan Elektronik (E&E)/Semikonduktor, dengan fokus kepada pembangunan ekosistem huluan dan hiliran yang komprehensif dan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi aktiviti berkaitan pembangunan semikonduktor dalam Belanjawan 2026, bagi menyokong pelaksanaan NSS secara menyeluruh.
-- BERNAMA