SP Setia Catat Keuntungan Bersih RM509.95 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih pemaju hartanah SP Setia Bhd berkurangan kepada RM509.95 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 daripada RM575.95 juta pada tahun kewangan 2024.

SP Setia dalam makluman kepada Bursa Malaysia melaporkan bahawa pendapatan tahun kewangan 2025 juga lebih rendah pada RM4.21 bilion daripada RM5.29 bilion sebelumnya, disebabkan oleh pendapatan merosot daripada urus niaga tanah.

“Hasil daripada urus niaga tanah pada tahun semasa adalah RM838 juta, lebih rendah daripada RM1.45 bilion tahun lepas.

Bagaimanapun, segmen pembangunan hartanah kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM4 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM974 juta, didorong oleh wilayah tengah dan selatan dengan Taman Perindustrian Setia Alaman mencapai prestasi kukuh kali pertama, menyumbang 11 peratus daripada jumlah hasil pembangunan pada tahun kewangan 2025,” katanya.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan itu melonjak kepada RM275.10 juta berbanding RM103.57 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024.

Hasil bagi suku di bawah kajian meningkat kepada RM1.63 bilion daripada RM1.06 bilion sebelumnya, didorong oleh pembangunan domestik termasuk sumbangan lebih tinggi daripada wilayah Tengah dan Selatan serta urus niaga tanah strategik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Datuk Zaini Yusoff dalam satu kenyataan berkata prestasi suku tahunan kumpulan yang lebih kukuh mencerminkan pelaksanaannya berdisiplin, model operasi berdaya tahan dan fokus berterusan untuk menghasilkan pembangunan kualiti.

“Walaupun kami kekal peka terhadap cabaran pasaran semasa, asas kumpulan kekal kukuh. Kami optimis tetapi berhati-hati dan akan terus mengukuhkan jejak kami merentasi segmen pertumbuhan tinggi yang disasarkan dan terus membina nilai jangka panjang mampan untuk pihak berkepentingan kami,” katanya.

Kumpulan itu juga menjangkakan langkah-langkah dasar yang menyokong termasuk lanjutan pengecualian duti setem dan insentif pemilikan rumah dipertingkatkan di bawah Belanjawan 2026 Malaysia MADANI untuk menyokong permintaan pasaran.

“Sehubungan itu, SP Setia memasuki tahun kewangan 2026 dengan jualan yang disasarkan sebanyak RM4.6 bilion, mencerminkan fokus pelaksanaan berterusan dan jangkaan pertumbuhan terukur untuk memberikan nilai pemegang saham yang mampan dan jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA