Perniagaan Kekal Optimis Suku Pertama 2026 Dengan Penunjuk Keyakinan 4.0 Peratus - DOSM
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Sentimen perniagaan kekal positif pada suku pertama 2026, seperti dicerminkan oleh Penunjuk Keyakinan (CI) sebanyak 4.0 peratus, menurun berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata semua sektor menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan bagi suku pertama 2026.
“Keyakinan perniagaan dalam sektor perkhidmatan kekal positif dengan CI 6.6 peratus berbanding 10.0 peratus pada suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi suku pertama 2026 di sini, hari ini.
Sektor perindustrian juga terus optimistik terhadap prestasi perniagaan, mencatat CI 3.3 peratus, menurun berbanding 5.8 peratus pada suku keempat 2025.
Di peringkat negeri, beberapa negeri mencatat sentimen optimis, antaranya Johor (3.0 peratus), Negeri Sembilan (8.0 peratus), Pulau Pinang (4.5 peratus), Perlis (3.7 peratus), Selangor (13.1 peratus), Terengganu (10.2 peratus), Sabah (2.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.0 peratus), WP Labuan (2.0 peratus) dan WP Putrajaya (3.4 peratus).
Sebaliknya, beberapa negeri mencatat bacaan negatif, menunjukkan cabaran berterusan, antaranya Kedah (−0.9 peratus), Kelantan (−5.3 peratus), Melaka (−1.9 peratus), Pahang (−9.8 peratus), Perak (−7.5 peratus) dan Sarawak (−0.7 peratus).
Melihat ke separuh pertama 2026, Mohd Uzir berkata perniagaan kekal optimis, walaupun pada imbangan bersih sedikit lebih rendah iaitu 10.8 peratus, menurun berbanding 12.0 peratus sebelumnya.
“Jangkaan positif dilihat merentas semua sektor, menandakan keadaan perniagaan yang menjanjikan bagi tempoh ramalan,” katanya.
-- BERNAMA