BERITA TERKINI   TNB lantik Datuk Shamsul Ahmad sebagai Presiden dan CEO baharu, menggantikan Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan mulai 1 Mac 2026 | Yang di-Pertuan Agong sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal di bahagian belakang serta pinggul - Istana Negara  | Baginda dinasihatkan pakar perubatan supaya berehat, tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan - Istana Negara | Sunway Healthcare, bakal disenaraikan di Pasaran Utama akan meraih RM833.8 juta daripada IPO, harga pada RM1.45 sesaham | Sunway Healthcare, bakal disenaraikan di Pasaran Utama akan meraih RM838.8 juta daripada IPO, harga pada RM1.45 sesaham | 

Hap Seng Consolidated Catat Untung Bersih Lebih Rendah Kepada RM500.32 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Konglomerat Hap Seng Consolidated Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM500.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 (TK2025) daripada RM650.48 juta pada TK2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM5.11 bilion pada TK2025 berbanding RM5.63 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Bagi suku keempat (S4) TK2025, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM103.86 juta berbanding RM149.97 juta pada S4 TK2024, manakala hasil merosot kepada RM1.27 bilion pada S4 TK2025 berbanding RM1.40 bilion sebelumnya.

“Keuntungan bersih yang lebih rendah ini disebabkan sumbangan yang rendah daripada bahagian perladangan, hartanah dan perdagangan,” katanya.

Mengenai prospek, Hap Seng yang sebahagian besarnya terlibat dalam perladangan, pelaburan dan pembangunan hartanah, pembiayaan kredit, automotif, perdagangan baja dan bahan binaan berkata ia akan terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik dengan teliti bagi mengurus cabaran di seluruh operasi perniagaannya secara berkesan.

“Berdasarkan perkara itu, lembaga pengarah secara berhati-hati optimis untuk mencapai keputusan yang memuaskan bagi TK2026,” katanya.

-- BERNAMA