BERITA TERKINI   PM Anwar tidak mahu rakyat terperangkap dalam isu kecil, tumpu kepada perkara besar demi masa depan negara | Sikap saling menghormati antara kaum teras kekuatan Malaysia, keamanan dan kesepakatan mesti dipelihara melalui tadbir urus yang baik - PM Anwar | Penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diperkukuh tanpa menghalang pembelajaran bahasa lain - PM Anwar | Untung bersih Axiata Group Bhd merosot kepada RM364.6 juta pada tahun kewangan 2025 daripada RM946.8 juta pada tahun kewangan 2024 | Untung bersih Malayan Banking Bhd naik kepada RM10.51 bilion pada tahun kewangan 2025 daripada RM10.08 bilion pada tahun kewangan 2024 | 

MBSB Bank Biaya Infrastruktur Tenusu Tahap 1 Menerusi Kemudahan Bernilai RM95.8 Juta

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- MBSB Bank Bhd menyediakan kemudahan pembiayaan berstruktur sebanyak RM95.8 juta kepada Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd untuk pembangunan infrastruktur tenusu tahap-1.

Pembiayaan itu merangkumi pembelian sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu A2 Jersey Friesian berpengeluaran tinggi dan pembinaan kemudahan pemprosesan yang berupaya menghasilkan sehingga 14 juta liter susu setahun menjelang 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan MBSB Bank Rafe Haneef berkata bank itu menyifatkan sekuriti makanan sebagai kelas aset kritikal yang memerlukan modal berskala besar, seperti yang dicerminkan dalam mandat Agro-ESG bernilai RM1 bilion.

“Kemudahan bernilai RM95.8 juta itu menjadi komitmen kepada pemangkin ekosistem tenusu bersepadu sepenuhnya yang pertama Johor, mewujudkan infrastruktur menggunakan teknologi, mematuhi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang penting untuk mengukuhkan tahap sara diri negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jemaluang Dairy adalah usaha sama strategik antara Kulim (Malaysia) Bhd dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu, inisiatif ini akan terus menangani jurang kritikal akibat kebergantungan yang tinggi terhadap import produk tenusu serta menyokong agenda nasional bagi daya tahan makanan negara.

Katanya langkah ini sekali gus mengubah landskap industri yang tidak tersusun kepada industri berpengeluaran tinggi dan berpacukan teknologi.

Komitmen penting ini turut menjadi pemangkin kepada mandat Johor Corporation (JCorp) untuk mengindustrikan sektor agriteknologi Malaysia sekali gus meletakkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur sebagai hab makanan serantau berpengeluaran tinggi, katanya.

Sementara itu, CEO Jemaluang Dairy Qasem Alhasan berkata projek itu dihasikan sebagai ekosistem tenusu menyeluruh, yang menggabungkan teknologi penternakan bertaraf dunia, amalan mampan serta pembangunan bakat tempatan.

“Langkah ini akan membolehkan pengeluaran susu tempatan berkualiti tinggi secara berskala besar selain menyokong matlamat jangka panjang bagi keselamatan makanan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi pengenalan kumpulan pertama sebanyak 1,000 ekor lembu pada November tahun lepas, jumlah itu akan ditingkatkan secara beransur-ansur kepada 4,000 ekor lembu menjelang tahun ketiga beroperasi, seiring dengan pelaksanaan fasa pembangunan yang sistematik dan mampan.

-- BERNAMA