Bursa Malaysia Klasifikasi Semula Segmen Pelabur Perjelas Penyertaan Dagangan
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd menambah baik data segmen pelabur untuk memberikan butiran lebih terperinci mengenai penyertaan dagangan dalam pasaran.
Menurut bursa dalam kenyataan di sini hari ini, penambahbaikan itu akan melibatkan akaun penama yang berbeza dipegang oleh pelabur institusi dan runcit, langkah yang memberikan gambaran lebih jelas mengenai penyertaan dagangan setiap segmen pelabur.
Selain itu, katanya aliran pelaburan syarikat milik asing yang diperbadankan di Malaysia akan dikelaskan semula berdasarkan sumber dana pelaburan berbanding pemilikan untuk mencerminkan aktiviti pelaburan domestik dengan lebih baik.
Kategori pelabur yang dikemas kini akan dipaparkan dalam pakej data Bursa Malaysia mulai 6 April 2026.
Selaras dengan amalan biasa bursa, katanya perubahan akan datang telah dimaklumkan kepada pelanggan data Bursa Malaysia.
Inisiatif itu didorong oleh penggunaan struktur penama yang meningkat dan mencerminkan komitmen berterusan bursa untuk memastikan maklumat kekal relevan, telus serta mencerminkan corak dagangan dan dinamik pasaran semasa.
-- BERNAMA