Inisiatif Pendigitalan Bantu Langkah Pengukuhan Hasil -- MOF
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Inisiatif pendigitalan telah membantu kerajaan melaksanakan pelbagai langkah pengukuhan hasil termasuk semakan semula kadar cukai, perluasan asas hasil, penambahbaikan pentadbiran cukai dan pengurangan dalam ketirisan kutipan hasil, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Kerajaan juga telah melaksanakan beberapa langkah peningkatan kecekapan perbelanjaan melalui penyasaran subsidi bahan api bagi mengurangkan ketirisan, penyusunan semula perbelanjaan awam dan penambahbaikan ketelusan dalam perolehan kerajaan melalui penggubalan Akta Perolehan Kerajaan yang mampu menyumbang kepada peningkatan kecekapan perbelanjaan.
“Dalam usaha mengawal risiko daripada liabiliti luar jangka dan peningkatan komitmen kewangan, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah utama antaranya menetapkan had pendedahan jaminan kewangan kepada 25 peratus daripada keluaran dalam negara kasar melalui Akta 850.
“MOF juga menyemak semula pelaksanaan projek-projek mega yang akan meningkatkan komitmen kewangan kerajaan,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di dalam laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia berkata demikian bagi menjawab persoalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Amanah) yang ingin tahu strategi kerajaan dalam mengurus komitmen fiskal jangka sederhana, termasuk liabiliti luar jangka dan obligasi berkaitan Syarikat Berkaitan Kerajaan serta Syarikat Bertujuan Khas.
MOF berkata sebarang pelaksanaan projek baharu dengan keperluan kewangan yang besar akan dibuat berdasarkan keupayaan kewangan kerajaan dalam jangka sederhana.
Langkah lain turut merangkumi merasionalisasi pelaksanaan projek secara kerjasama awam swasta dengan memberi tumpuan kepada model berasaskan bayaran oleh pengguna untuk mengurangkan komtimen kewangan langsung daripada kerajaan selaras dengan matlamat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Selain itu, kerajaan juga akan menambah baik pengurusan dan tatakelola syarikat berkaitan kerajaan melalui cadangan penggubalan undang-undang berkaitan yang bertujuan untuk memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti dan mengoptimumkan pengoperasian syarikat selaras dengan mandat penubuhan,” kata MOF lagi.
-- BERNAMA