BERITA TERKINI   Laporan awal menunjukkan terdapat 36 orang rakyat Malaysia daripada pelbagai NGO di atas kapal Flotila Sumud Global - Kementerian Luar | 

Amir Hamdan Letak Jawatan Sebagai Presiden Dan CEO Prasarana

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengesahkan bahawa Amir Hamdan akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan selepas hampir lapan tahun bersama syarikat.

Menurut Prasarana dalam kenyataan hari ini, keputusan beliau untuk meninggalkan syarikat tersebut adalah atas sebab-sebab peribadi selaras dengan perancangan beliau untuk langkah seterusnya.

“Maklumat lanjut berhubung kesinambungan kepimpinan syarikat akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi Prasarana.

“Prasarana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan dan mendoakan yang terbaik dalam perancangan masa depan beliau,” menurutnya.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Amir telah memainkan peranan penting dalam memacu pelbagai inisiatif transformasi dan memperkukuh operasi syarikat dalam memastikan operasi perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik kepada rakyat, menurut Prasarana.

-- BERNAMA