BERITA TERKINI   GSF 2.0: Seramai 175 aktivis diculik termasuk 10 rakyat Malaysia dan dibawa ke Israel setakat ini - SNCC | GSF 2.0: Sebanyak 21 kapal dipintas ketika menghampiri perairan Greece setakat 7 malam ini - SNCC | GSF 2.0 : Setakat 7 malam ini, kapal Tam Tam tidak dipintas, tetapi dirosakkan rejim Israel - SNCC | Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | Mahkamah Majistret Tenom perintahkan Ebit Lew membela diri atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual  | 

CIMB Kekal Unjuran KDNK 2026 Pada 4.5 Peratus Walaupun Mahkamah Agung AS Batal Tarif Trump

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- CIMB Treasury and Markets Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.5 peratus bagi 2026 walaupun Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA).

Pada 20 Februari, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif berasaskan IEEPA yang dikenakan oleh Trump termasuk tarif timbal balasnya.

Selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif IEEPA, Presiden AS mengembalikan tarif 15 peratus bermula 24 Februari selama 150 hari selain mengurangkan cukai terhadap kebanyakan pengeksport Asia.

Dalam nota penyelidikan hari ini, CIMB Treasury and Markets Research berkata keputusan untuk mengekalkan unjuran tersebut adalah berdasarkan hakikat bahawa rejim tarif dan perjanjian perdagangan masih dalam keadaan tidak menentu.

Dalam senario yang lebih membina apabila tarif 15 peratus dikekalkan dengan impak bersih minimum daripada kesan penggantian, Malaysia (+0.10 mata peratus) berpotensi menyaksikan peningkatan pertumbuhan.

"Dengan sokongan eksport yang kukuh, penurunan tarif berkesan AS daripada 15.3 peratus kepada 13.2 peratus tidak mengubah pertumbuhan atau kadar dasar," katanya.

CIMB Treasury and Markets Research menambah bayaran balik daripada tarif IEEPA sebanyak US$150 bilion hingga US$175 bilion mungkin dilaksanakan secara sebahagian dan berperingkat disebabkan prosedur perundangan.

-- BERNAMA