BERITA TERKINI   Kerajaan Perak umum BKK Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri, dibayar 16 Mac - MB | Pemberian BKK dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 - JPA | Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan dibayar pada 13 Mac - JPA | PM Anwar seru agar wujud kematangan dalam urusan politik antarabangsa | Kementerian Luar pamer prestasi membanggakan, kunjungan ke luar negara beri manfaat kepada negara - PM Anwar | 

LKAN: 36 Syarikat Dorman Miliki RM1.25 Bilion Liabiliti, Masih Bergantung Sokongan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Sebanyak 36 syarikat berstatus dorman yang mencatat liabiliti bersih berjumlah RM1.248 bilion memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan, agensi atau syarikat induk bagi menyelesaikan obligasi kewangan masing-masing, menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 yang dikeluarkan hari ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 116 atau 18.1 peratus daripada 641 syarikat Persekutuan dikenal pasti berstatus dorman.

“Sebanyak 62 syarikat telah berstatus dorman dalam tempoh lima tahun atau lebih. Analisis terhadap Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun 2022 dan 2023 bagi 62 syarikat tersebut mendapati jumlah perbelanjaan dicatatkan sebanyak RM92.06 juta, iaitu RM35.32 juta pada 2022 dan RM56.74 juta pada 2023,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut memaklumkan bahawa analisis perbelanjaan hanya dilaksanakan terhadap 79 syarikat dorman berdasarkan pengesahan Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun berakhir 2022 dan 2023.

“Perbelanjaan bagi 37 syarikat lain tidak dianalisis kerana berstatus dorman mulai 2024 atau 2025, atau tempoh dorman tidak diisytiharkan dalam Sistem e-SelfAudit, atau Penyata Kewangan Beraudit tidak dikemukakan bagi tahun 2022 dan 2023 untuk pengesahan,” kata laporan itu.

Daripada 79 syarikat yang dianalisis, sebanyak 62 syarikat telah berstatus dorman selama lima tahun atau lebih, manakala 17 syarikat kurang daripada lima tahun.

Sementara itu, sebanyak 27 syarikat pula berstatus dorman sejak ditubuhkan.

Jumlah perbelanjaan statutori melibatkan fi audit yang dibayar bagi memenuhi keperluan di bawah Akta Syarikat 2016 adalah sebanyak RM550,000, iaitu RM290,000 pada 2022 dan RM260,000 pada 2023.

Analisis lanjut mendapati 22 syarikat Persekutuan tidak mempunyai obligasi kewangan, manakala 40 syarikat masih mempunyai obligasi kewangan melibatkan baki pinjaman kepada kerajaan, institusi kewangan swasta, syarikat induk, subsidiari dan syarikat berkaitan lain, selain pemiutang lain yang melibatkan kadar faedah.

Bagi tahun 2023, daripada 22 syarikat tersebut, sebanyak 18 syarikat mempunyai aset bersih yang membolehkan syarikat menampung perbelanjaan tanpa bergantung kepada sokongan kerajaan, manakala empat syarikat mencatat liabiliti bersih.

Laporan itu mengesyorkan agar kementerian pengawal serta agensi atau syarikat induk memberi perhatian sewajarnya terhadap kedudukan kewangan syarikat dorman, termasuk mempertimbangkan sama ada untuk mengaktifkan semula atau membubarkan syarikat terlibat.

“Bagi syarikat berstatus dorman selama lima tahun atau lebih tetapi masih mempunyai obligasi kewangan, kerajaan atau agensi/syarikat induk perlu memastikan obligasi tersebut diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA