BERITA TERKINI   Kerajaan Perak umum BKK Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri, dibayar 16 Mac - MB | Pemberian BKK dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 - JPA | Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan dibayar pada 13 Mac - JPA | PM Anwar seru agar wujud kematangan dalam urusan politik antarabangsa | 

Jualan Bersih Asing Kembali Dalam Minggu Dagangan Singkat Susulan Cuti Tahun Baharu Cina - MBSB

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pelabur asing mengakhiri aliran belian bersih mereka selama enam minggu pada minggu lepas, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM65.7 juta dalam minggu dagangan yang singkat disebabkan cuti sambutan Tahun Baharu Cina, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB).

Dalam Laporan Aliran Dananya pada minggu berakhir 20 Feb 2026, katanya aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Isnin (-RM142.2 juta), diikuti Jumaat (-RM52.7 juta) dan satu-satunya aliran masuk direkodkan pada Khamis (RM129.2 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM138.4 juta), utiliti (RM79.2 juta) dan tenaga (RM17.1 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah produk dan perkhidmatan pengguna (-RM177.4 juta), hartanah (-RM37.7 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM37.1 juta),” katanya.

Menurut MBSB, institusi tempatan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak -RM50.2 juta, merupakan jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut.

Sementara itu, peruncit tempatan kembali kepada belian bersih selepas mencatatkan aliran keluar pada minggu sebelumnya, merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM115.8 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan yang meluas: peruncit tempatan sebanyak -13.5 peratus, institusi tempatan (-18.8 peratus) dan pelabur asing (-29.7 peratus),” katanya.

Pada peringkat serantau, katanya pelabur asing kembali kepada jualan bersih, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak US$549.3 juta, didorong terutamanya oleh Korea Selatan, India dan Malaysia manakala Thailand, Indonesia dan Filipina mencatatkan aliran masuk bersih.

-- BERNAMA