BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 2-1 JDT | Suhaimi Sulaiman sahkan lepaskan jawatan KP Jabatan Penyiaran hujung bulan ini | CelcomDigi secara rasmi lantik Albern Murty sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa hari ini | Axiata Group Bhd lantik Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil bagi menggantikan Vivek Sood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, berkuat kuasa 1 Jun, 2026. | 16 jenis barangan dikawal harga, empat barangan ditambah dalam senarai bagi Sabah, Sarawak dan Labuan - Armizan | 

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Pengambilan Untung

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Aktiviti pengambilan untung menyeret turun Bursa Malaysia untuk ditutup rendah pada Selasa selepas kenaikan kukuh yang dicatatkan semalam.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 3.76 mata kepada 1,747.54 daripada 1,751.30 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 4.16 mata lebih tinggi kepada 1,755.46 sebelum bergerak serendah 1,745.41 pada awal dagangan dan mencecah setinggi 1,761.57 pada tengah hari.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 495 berbanding 473, manakala 484 kaunter tidak berubah, 1,199 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.19 bilion unit bernilai RM2.35 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran tempatan kekal berdaya tahan selepas pelabur masih mengekalkan pegangan susulan kenaikan baru-baru ini, sekali gus menunjukkan fasa konsolidasi berbanding penurunan aliran.

Beliau berkata kalangan indeks utama serantau kebanyakannya ditutup tinggi, disokong aktiviti pembelian semasa harga murah yang berterusan selepas prestasi hambar minggu lepas.

“Kami berpandangan pengambilan untung baru-baru ini sebagai sesuatu yang konstruktif, memberi ruang kepada pasaran untuk konsolidasi sebelum meneruskan semula trajektori kenaikan.

“Oleh itu, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara 1,730 hingga 1,760,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata dari sudut makroekonomi, data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencecah RM163.7 bilion pada Disember 2025, meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan adalah meluas merangkumi semua subsektor, diterajui oleh kenderaan bermotor (12.2 peratus), diikuti perdagangan runcit dan borong (masing-masing 6.9 peratus).

“Daripada perspektif pasaran, data ini mengesahkan daya tahan permintaan domestik dan menyediakan asas yang kukuh untuk menyokong saham berorientasi penggunaan dan dipacu domestik,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare susut 17 sen kepada RM8.77, Tenaga Nasional turun 14 sen kepada RM14, dan Maybank kurang enam sen kepada RM12, manakala CIMB tidak berubah pada RM8.55 dan Public Bank naik tiga sen kepada RM5.11.

Bagi saham paling aktif, Zetrix AI menguncup dua sen kepada 78.5 sen, manakala MMAG Holdings, Pharmaniaga dan Velesto Energy masing-masing naik setengah sen kepada lima sen, 30.5 sen dan 31 sen, serta Tanco Holdings meningkat satu sen kepada RM1.37.

Antara kaunter paling untung, Nestle naik 40 sen kepada RM112, Malaysian Pacific Industries melonjak 62 sen kepada RM32.20, Chin Teck Plantations meningkat 58 sen kepada RM11, Hong Leong Financial Group menokok 44 sen kepada RM22.84, dan Kuala Lumpur Kepong menambah 24 sen kepada RM19.90.

Antara kaunter paling rugi, 99 Speed Mart Retail Holdings susut 19 sen kepada RM3.96, Petronas Dagangan turun 44 sen kepada RM20.28, BLD Plantation merosot RM1.06 kepada RM14.54, Petronas Gas kurang 16 sen kepada RM18.34, dan Negri Sembilan Oil Palms susut 15 sen kepada RM5.75.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 17.52 mata kepada 12,598.69, Indeks FBM Emas kurang 12.97 mata kepada 12,771.57, dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 4.45 mata kepada 12,230.27, manakala Indeks FBM Mid 70 naik 19.02 mata kepada 17,509.41 dan Indeks FBM ACE menokok 19.44 mata kepada 4,748.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 12.85 mata kepada 21,712.09 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.70 mata kepada 175.31, manakala Indeks Tenaga menambah 4.18 mata kepada 743.79 dan Indeks Perladangan meningkat 24.58 mata kepada 8,383.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.18 bilion unit bernilai RM2.13 bilion daripada 1.66 bilion unit bernilai RM2.61 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 588.48 juta unit bernilai RM61.42 juta daripada 972.26 juta unit bernilai RM125.01 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 420.31 juta unit bernilai RM153.31 juta berbanding 481.26 juta unit bernilai RM159.09 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 164.67 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (142.90 juta), pembinaan (139.62 juta), teknologi (138.76 juta), perkhidmatan kewangan (104.14 juta), hartanah (139.56 juta), perladangan (17.66 juta), amanah pelaburan hartanah (12.68 juta), dana tertutup (10,200), tenaga (97.08 juta), penjagaan kesihatan (142.53 juta), telekomunikasi dan media (37.39 juta), pengangkutan dan logistik (16.57 juta), utiliti (29.98 juta), serta amanah perniagaan (51,600).

-- BERNAMA