BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 2-1 JDT | Suhaimi Sulaiman sahkan lepaskan jawatan KP Jabatan Penyiaran hujung bulan ini | CelcomDigi secara rasmi lantik Albern Murty sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa hari ini | Axiata Group Bhd lantik Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil bagi menggantikan Vivek Sood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, berkuat kuasa 1 Jun, 2026. | 16 jenis barangan dikawal harga, empat barangan ditambah dalam senarai bagi Sabah, Sarawak dan Labuan - Armizan | 

Majlis Perniagaan Indonesia, SEAFIC Bekerjasama Pacu Integrasi Ekonomi Berimpak Serantau

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Majlis Perniagaan Indonesia (IBC) dan Pusat Inisiatif Masa Depan Asia Tenggara (SEAFIC) yang baru ditubuhkan, memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama penyelidikan serta dialog dasar untuk manfaat rantau berkenaan.

Objektif lain termasuk kerjasama bagi melonjakkan daya saing Indonesia, memperdalamkan integrasi serantau dan melaras keperluan perniagaan dengan hala tuju dasar yang boleh diukur serta dilaksanakan.

“Menerusi kerjasama ini, IBC dan SEAFIC dapat mengendalikan perbincangan secara berkala, melakukan pembangunan penyelidikan bersama selain merangka cadangan dasar mengenai isu-isu strategik yang dipersetujui bersama,” demikian menurut kenyataan bersama IBC dan SEAFIC di sini, hari ini.

Tumpuan utama lain termasuk aspek daya tahan ekonomi, kesalinghubungan rentas sempadan serta isu-isu yang memberi impak langsung terhadap aliran dagangan serta keputusan berkaitan pelaburan.

Pengasas dan Pengerusi SEAFIC Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata menerusi kerjasama dengan IBC, pihaknya mahu memperkukuh kaitan antara analisis, keperluan perniagaan dan saranan dasar yang praktikal bagi meningkatkan lagi aspek integrasi serta daya tahan ekonomi di Asia Tenggara.

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama yang melangkaui wadah perbincangan semata-mata.

“Rantau ini memerlukan kerjasama yang lebih fokus dan berteraskan pandangan masa depan serta bukti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IBC Arsjad Rasjid menekankan kepentingan bagi ASEAN bergerak secara selaras dengan tumpuan khusus ke arah penyelesaian secara praktikal berikutan peningkatan risiko perdagangan dan pemecahan rantaian bekalan.

“Kerjasama ini dirangka untuk mengukuhkan dialog berteraskan asas dan bukti yang menepati keperluan komuniti perniagaan dan meningkatkan lagi ekonomi serantau,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IBC Sofyan Djalil berkata kerjasama itu bertujuan mengukuhkan daya saing menerusi keputusan dan hala tuju yang jelas dan berkualiti.

“Daya saing bukan sekadar slogan...ini merupakan hasil daripada dasar yang jelas, konsisten serta dapat diterjemahkan kepada projek-projek yang konkrit.

“Sehubungan itu, menerusi SEAFIC, IBC mahu mengembangkan asas pengetahuan dan rangkaian serantau untuk mengukuhkan lagi agenda daya saing Indonesia,” katanya.

Pemeteraian MoU berkenaan diadakan pada majlis prapelancaran SEAFIC yang turut mengetengahkan dialog dasar peringkat tinggi dengan barisan pemimpin kanan serantau bagi membincangkan topik “ASEAN’s Golden Decade: Turning Geopolitical Overload into Geoeconomic Opportunity” (Dekad Emas ASEAN: Mengubah Beban Geopolitik kepada Peluang Geoekonomi).

SEAFIC yang berpangkalan di sini, ditubuhkan sebagai sebuah badan pemikir serantau yang dapat memajukan penyelidikan berorientasikan masa depan, dialog dasar berasaskan bukti serta kajian strategik mengenai peralihan ekonomi, teknologi dan tadbir urus di Asia Tenggara.

-- BERNAMA