BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Pembiayaan Mampan Penting Untuk Percepat Peralihan Pelepasan Skop 3 - Premier Sarawak

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Pembiayaan dan pelaburan mampan adalah penting untuk mempercepatkan peralihan kemampanan pelepasan Skop 3, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pelepasan Skop 3, yang merujuk kepada pelepasan gas rumah hijau tidak langsung yang dijana merentasi rantaian nilai syarikat tidak termasuk pelepasan daripada elektrik yang dibeli, kekal antara yang paling mencabar untuk diuruskan memandangkan ia memerlukan kerjasama melangkaui sempadan organisasi.

Organisasi yang berjaya mengurus pelepasan Skop 3 ialah mereka yang sanggup melaburkan usaha untuk melibatkan pembekal, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta meningkatkan standard di seluruh rantaian nilai mereka.

"Matlamat tanpa pembiayaan akan kekal sebagai niat semata-mata. Modal, apabila dipacu dengan tujuan, ia akan menjadi pecutan," katanya semasa ucaptama pada Malam Sambutan Anggota Rangkaian Kompak Global PBB Malaysia & Brunei (UNGCMYB) 2026 pada Khamis.

Tambahan pula, kemampanan tidak bergerak maju di atas visi sahaja kerana ia memerlukan ekosistem yang membolehkan, dasar yang jelas, rangka kerja yang boleh dipercayai, insentif termasuk institusi yang mampu memahami bagaimana untuk merapatkan matlamat dengan pelaksanaan.

Di Sarawak, Abang Johari menjelaskan kebanyakan usaha ini telah dijalankan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.

“Melalui koheren dasar, perancangan jangka panjang dan penglibatan rapat dengan industri, kementerian tersebut telah memainkan peranan penting dalam menterjemahkan kemampanan daripada aspirasi kepada pelaksanaan,” katanya.

Malam Sambutan Anggota UNGCMYB 2026 merupakan acara tahunan, yang mengiktiraf kepimpinan kemampanan merentasi perusahaan dan individu.

Acara itu menonjolkan organisasi dan pemimpin yang telah menterjemahkan komitmen kemampanan mereka kepada tindakan yang boleh dipercayai serta boleh diukur, sejajar dengan keutamaan pembangunan Malaysia.

-- BERNAMA