BERITA TERKINI   Perdana Menteri minta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap warga asing yang salah guna pas lawatan sosial - Fahmi | Kementerian Pendidikan Tinggi akan adakan pertemuan dengan MQA minggu depan, teliti isu laluan ke IPTA -- Fahmi  | Tindakan penguatkuasaan perlu gerakan menyeluruh libatkan seluruh jentera negara – PM Anwar | Setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilaksana secara berkesan di semua peringkat, termasuk ke tahap pihak berkuasa tempatan - PM Anwar | 

MPOB Dalam Usaha Perluas Penggunaan B20 Di KLIA -- KPK

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang berbincang dengan syarikat pengendali kenderaan darat dan pembekal minyak biodiesel B20 untuk mengadun bahan api itu dalam usaha memperluas penggunaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).  

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata pihaknya juga berhasrat memperluas inisiatif B20 kepada kenderaan perkhidmatan darat di beberapa lapangan terbang lain termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

"Peluasan pelaksanaan penggunaan B20 terhadap kenderaan perkhidmatan darat di lapangan terbang ini bergantung kepada hasil kajian projek rintis di KLIA, kelulusan peruntukan dan ketersediaan infrastruktur serta logistik di lapangan terbang yang terlibat," katanya.

KPK berkata sedemikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai hasrat KPK untuk memperluas penggunaan biodiesel sawit B20 ke semua lapangan terbang di seluruh Malaysia.

KPK dengan kerjasama MPOB sedang menjalankan projek rintis penggunaan biodiesel B20 bagi kenderaan perkhidmatan darat di KLIA.

Projek ini bermula pada Februari 2025 sehingga Ogos 2026 (18 bulan) dan ia dilancarkan pada 29 Mei, 2025.

Kerjasama ini menghimpunkan pemain utama dalam sektor penerbangan bagi membangunkan ekosistem bahan api bio yang holistik di lapangan terbang apabila Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bertindak sebagai pengendali lapangan terbang, Petronas Dagangan Bhd (PDB) sebagai pembekal biodiesel B20 manakala Teras Kembang Sdn Bhd sebagai pengurus stesen minyak yang menjual biodiesel B20 di KLIA.

-- BERNAMA