Anak Syarikat MCE Holdings Peroleh Kontrak Bekalan Proton Bernilai RM37.9 Juta
KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Anak syarikat MCE Holdings Bhd (MCE), iaitu Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd dan MCE Hengtuo Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM37.9 juta daripada pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd (Proton).
MCE ialah pembekal automotif Malaysia peringkat 1 yang mengkhusus dalam kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan komponen elektronik automotif dan mekatronik.
Ia akan membekalkan komponen bagi model kereta baharu di bawah kontrak 84 bulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pengeluaran dijangka bermula pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.
Pengarah Urusan Kumpulan MCE Goh Kar Chun berkata projek itu mencerminkan perkongsian yang terjalin menerusi kerjasama selama beberapa dekad, selain keyakinan Proton terhadap keupayaannya untuk memenuhi permintaan sebagai rakan kongsi jangka panjang.
“Dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan dalaman, MCE menyokong pelanggan merentasi kitaran sepenuhnya, daripada reka bentuk dan kejuruteraan hinggalah kepada pengeluaran.
“Pendekatan bersepadu ini membolehkan kami menyediakan penyelesaian berkualiti tinggi, memastikan bekalan yang boleh dipercayai pada skala besar dan kekal efektif dari segi kos,” tambah Goh.
MCE berkata projek itu menyokong penyertaan berterusan syarikat merentasi pelbagai model kereta dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dan aset bersih sesaham sepanjang tempoh kontrak.
-- BERNAMA