BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

LHDN Rangka Strategi Lebih Adil Agih Bayaran Balik Cukai, Utamakan PMKS

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merangka strategi yang lebih adil dan saksama bagi memastikan peruntukan bayaran balik yang disediakan oleh kerajaan dapat diagihkan secara teratur, kata Kementerian Kewangan (MOF).

 Kementerian itu berkata antara strateginya iaitu mempertimbang keutamaan kepada syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau syarikat yang mengalami masalah aliran tunai dan mengguna pakai konsep First In First Out.

Katanya, ia juga termasuk mengagihkan bayaran balik lebihan cukai secara seimbang berdasarkan usia tunggakan dan membuat bayaran penuh bagi tunggakan bayaran balik lebihan cukai untuk kategori pembayar cukai individu.

“Selain itu, pindaan perundangan cukai juga dibuat bagi membolehkan pembayar cukai membuat semakan pada bulan ke-11, berbanding semakan pada bulan ke-enam atau ke-sembilan atau kedua-duanya sahaja.

“Melalui kemudahan semakan tambahan yang disediakan ini, bayaran anggaran cukai yang perlu dibuat sepatutnya menghampiri jumlah tanggungan cukai sebenar yang perlu dibayar oleh syarikat, dan ini seterusnya akan dapat mengurangkan bayaran balik lebihan cukai di pihak Kerajaan,” jelas MOF menerusi jawapan bertulis yang diterbitkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai jumlah tunggakan lebihan cukai yang belum dijelaskan setakat ini bagi pembayar cukai termasuk PKS serta sasaran Kerajaan bagi 2026 termasuk tempoh penyelesaian dan mekanisme mencegah tunggakan baharu.

Jumlah bayaran balik lebihan cukai bagi 2025 yang diselesaikan oleh LHDN sebanyak RM22.45 bilion, melibatkan 3.6 juta pembayar cukai yang turut merangkumi syarikat PMKS.

-- BERNAMA