Exsim Hospitality Raih Kontrak RM21.9 Juta Bagi Kerja Hiasan, Penyediaan Dalaman

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Exsim Hospitality Bhd (EHB) meraih kontrak bernilai RM21.9 juta untuk melaksanakan kerja-kerja hiasan dan penyediaan dalaman bagi pembangunan komersial bercampur 50 tingkat di Kuala Lumpur.

Dalam satu makluman di Bursa Malaysia, EHB berkata anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd (ECSB), pada 26 Januari, 2026 menerima surat pelantikan daripada HAB Construction Sdn Bhd, susulan pengeluaran surat bertarikh 21 Januari, 2026.

Di bawah pelantikan itu, ECSB akan melaksanakan tugas pembekalan, fabrikasi, penghantaran dan pemasangan kerja-kerja kelengkapan dalaman untuk unit pangsapuri perkhidmatan merangkumi Tingkat 7 hingga 46 bagi pembangunan berkenaan yang terletak di Lot 20093 (dahulunya Lot 1248 dan 1254), Seksyen 67, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Kontrak itu meliputi tempoh pembinaan selama 40 bulan. Kerja-kerja bermula pada 3 September, 2024 dan dijadualkan siap pada 2 Januari, 2028.

ECSB terlibat dalam menyediakan perkhidmatan kelengkapan khusus untuk aset hartanah hospitaliti, manakala perniagaan teras HAB Construction pula merangkumi kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan.

“Pelantikan ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan tahap kadar hutang kumpulan sepanjang tempoh projek,” kata EHB.

Syarikat itu juga tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa melebihi daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan projek berkenaan dan akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku.

-- BERNAMA