BERITA TERKINI   JKDM perlu terus perbaiki keupayaan dan integriti pastikan kedudukan negara kekal kukuh, capai kutipan hasil lebih memberangsangkan -- PM Anwar | 

Keuntungan Suku Ketiga PGF Capital Menyusut Kepada RM4.56 Juta

GEORGE TOWN, 26 Jan (Bernama) -- Keuntungan bersih pengeluar penebat tersenarai di Pasaran Utama, PGF Capital Bhd menyusut kepada RM4.56 juta untuk suku ketiga berakhir 30 Nov 2025 berbanding RM6.24 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun 2024.

Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keuntungan yang lebih rendah itu terkait dengan kerugian yang tidak direalisasi, berdasarkan nilai pada pasaran semasa (MTM) sebanyak RM2.54 juta ke atas kemudahan swap mata wang bersilang yang diperoleh untuk membiayai pelan pengembangan segmen penebat, bersama-sama dengan kerugian pertukaran asing berjumlah RM1.22 juta yang ditanggung susulan kelemahan dalam mata wang eksport.

Bagaimanapun, pendapatannya telah meningkat 14.8 peratus kepada RM44.12 juta dalam suku yang ditinjau daripada RM38.44 juta sebelum ini.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026, PGF Capital merekodkan hasil sebanyak RM130.10 juta, mewakili peningkatan 7.3 peratus dari tahun ke tahun berbanding RM121.33 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2024, selepas dipacu oleh permintaan yang stabil untuk produk penebat, terutamanya daripada pasaran teras Oceania.

Segmen penebat kekal sebagai penyumbang hasil utama PGF Capital, ia memberikan lebih daripada 99 peratus daripada jumlah hasil untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026. 

Sementara itu melalui satu kenyataan berasingan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PGF Capital, Fong Wern Sheng berkata kumpulan itu kekal positif terhadap prestasinya bagi tahun kewangan berakhir 28 Feb 2026 memandangkan permintaan di seluruh pasaran terasnya di Australia dan New Zealand terus disokong oleh keperluan kawal selia, inisiatif berkaitan perumahan serta program kecekapan tenaga.

“Di Malaysia, langkah dasar dan peraturan kecekapan tenaga yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026, bersama dengan mekanisme penetapan harga karbon serta insentif pembiayaan hijau, dijangka menyokong penggunaan penyelesaian penebat yang lebih meluas, khususnya dalam kalangan pengguna komersial dan industri.

“Selain itu, pembangunan infrastruktur sektor awam yang berterusan merentasi sektor pengangkutan dan utiliti dijangka menyediakan sokongan jangka sederhana tambahan untuk aktiviti pembinaan, yang seterusnya akan menyokong permintaan bagi produk-produk berkaitan bangunan,” katanya lagi.

-- BERNAMA