Bursa Malaysia Terus Catat Kenaikan Pada Tengah Hari
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia terus mencatatkan kenaikan pada tengah hari ini berikutan minat belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh kaunter kewangan dalam prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 20.41 mata kepada 1,740.40 daripada 1,719.99 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks barometer dibuka tinggi 1.64 mata kepada 1,721.63, paras terendah pada sesi dagangan pagi, sebelum kepada paras tertinggi harian pada 1,741.12 pada pertengahan pagi.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 592 berbanding 463 manakala 485 kaunter tidak berubah, 1,188 tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.95 bilion unit bernilai RM1.93 bilion.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenyataan daripada Goldman Sachs menunjukkan bahawa Malaysia kini dilihat oleh firma global sebagai pasaran yang mencatatkan prestasi yang baik di Asia.
“Apabila pertumbuhan, dasar dan mata wang bergerak seiring, pelabur asing lebih selesa beralih daripada pemerhatian pasif kepada proses pembinaan pegangan yang lebih berstruktur,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kenyataan Goldman Sachs menyarankan membeli ringgit dan menjual dolar Singapura berikutan menjangka mata wang Malaysia mencatatkan prestasi yang lebih baik di Asia.
Katanya naratif ringgit telah berubah daripada bergantung pada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) kepada dipacu oleh asas domestik.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank melonjak 14 sen kepada RM11.50, Public Bank meningkat tujuh sen kepada RM4.85, CIMB naik 27 sen kepada RM8.57, Tenaga Nasional menambah 18 sen kepada RM13.98 dan IHH Healthcare naik enam sen kepada RM8.66.
Dalam senarai paling aktif, Capital A meningkat 5.5 sen kepada 60 sen, AirAsia X naik 25 sen kepada RM2.09 dan Press Metal menambah 14 sen kepada RM7.55 manakala VS Industry merosot setengah sen kepada 45.5 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Dutch Lady Milk Industries, yang melonjak 74 sen kepada RM33.08, Hong Leong Bank naik 50 sen kepada RM24.50, Hong Leong Financial Group meningkat 48 sen kepada RM21.52 dan Nestle menambah 40 sen kepada RM115.60.
Bagi kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries merosot 52 sen kepada RM32.60 serta Malayan Cement dan Vitrox, masing-masing berkurangan 17 sen kepada RM7.66 dan RM4.38.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menambah 126.71 mata kepada 12,582.51, Indeks FBM Emas meningkat 119.64 mata kepada 12,780.18, Indeks FBM Mid 70 naik 84.01 mata kepada 17,646.23 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 74.73 mata kepada 12,384.38, bagaimanapun Indeks FBM ACE berkurangan 59.67 mata kepada 4,845.38.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 347.04 mata kepada 21,150.21, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.67 mata kepada 177.16 dan Indeks Perladangan menambah 60.19 mata kepada 8,429.96.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga berkurangan 2.90 mata kepada 766.48.
-- BERNAMA