BERITA TERKINI   PM Anwar akan lancar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 esok | Insiden tren tergelincir: Kerja baik pulih sedang dijalankan, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara kekal aktif - Rapid KL | Rapid KL sahkan insiden tren tergelincir landasan di Stesen Chan Sow Lin, tiada kecederaan dilaporkan | 

Pasaran Getah Pulih Disokong Kenaikan Serantau

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur mengakhiri kerugian baru-baru ini dengan ditutup tinggi pada Rabu, disokong peningkatan niaga hadapan getah serantau dan penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran turut dirangsang oleh jangkaan langkah rangsangan tambahan daripada Beijing bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Menurut laporan China merancang untuk memperkenalkan langkah baharu bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan, dengan bergantung kepada sektor penjagaan warga emas, penjagaan kesihatan dan rekreasi bagi mengimbangi permintaan barangan yang lemah.

“Bagaimanapun, potensi kenaikan selanjutnya dihadkan oleh petunjuk harga minyak mentah yang bercampur-campur serta ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, minyak mentah Brent susut 1.45 peratus kepada US$63.93 setong.

Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 meningkat dua sen sekilogram (kg) kepada 743.5 sen/kg, manakala lateks pukal naik satu sen kepada 576.00 sen.

-- BERNAMA