Niaga Hadapan Emas Terus Momentum Kenaikan Susulan Lonjakan Ketegangan Geopolitik
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan momentum kenaikan pada Selasa untuk ditutup lebih tinggi apabila sentimen pasaran semakin disokong oleh peningkatan ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Kesatuan Eropah (EU).
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sikap baharu Presiden AS Donald Trump mengenai Greenland berserta perbincangan yang semakin meningkat mengenai potensi perpecahan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengukuhkan peranan emas sebagai perlindungan geopolitik.
"Dengan premium risiko politik kembali memasuki ke pasaran global, logam berharga itu kekal disokong dengan baik berbanding aset yang sensitif terhadap risiko," katanya kepada Bernama.
Menurut laporan, Trump berkata beliau mengadakan perbualan menerusi telefon yang "sangat baik" dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte mengenai Greenland.
Beliau memberitahu mereka juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan melibatkan pelbagai pihak di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Sementara itu, kontrak bulan semerta Januari 2026 meningkat kepada US$4,741.10 setiap auns troy daripada US$4,672.60 setiap auns troy pada Isnin, kontrak Februari 2026 naik kepada US$4,756.50 setiap auns troy daripada US$4,689.00 setiap auns troy.
Kontrak Mac 2026 melonjak kepada US$4,774.20 setiap auns troy daripada US$4,706.00 setiap auns troy sebelumnya.
Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 juga mencatatkan kenaikan, ditutup pada US$4,792.40 setiap auns troy daripada US$4,724.20 setiap auns troy semalam.
Jumlah dagangan berkembang kepada 152 lot daripada 64 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 228 kontrak daripada 141 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada US$4,664.95 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 19 Jan, 2026.
-- BERNAMA