BERITA TERKINI   PRK Kinabatangan, Lamag: 93 peratus pengundi awal laksana tanggungjawab - SPR | PRK Kinabatangan, Lamag: pusat pengundian awal ditutup pada 5 petang ini - SPR | Terbitan bon korporat Malaysia diunjurkan sebanyak RM130 bilion–RM140 bilion pada 2026, melebihi purata sejarah RM122 bilion -- RAM Ratings | PRK Kinabatangan: Sebanyak 89.42 peratus keluar mengundi bagi undi awal setakat 3 petang - SPR | PRK Lamag: Sebanyak 89.89 peratus keluar mengundi bagi undi awal setakat 3 petang - SPR | 

Strategi Diplomasi Perdagangan Dilaksanakan Bagi Tangani Diskriminasi - Noraini

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan mengamalkan strategi diplomasi perdagangan yang dinamik untuk menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan pasaran utama bagi menangani sebarang bentuk diskriminasi. 

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kementerian melaksanakan pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan eksport minyak sawit dengan menumpukan kepada pematuhan piawaian antarabangsa, kepelbagaian pasaran dan penjanaan nilai tambah industri minyak sawit. 

“Antara usaha yang dilaksanakan di bawah kementerian dan agensinya adalah fokus kepada pasaran minyak premium atau berkualiti tinggi, menggalakkan transformasi industri ke arah produk dengan nilai tambah tinggi dan pada masa sama, pelaksanaan MSPO 2.0 diperkukuhkan supaya minyak sawit dapat memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya. 

Beliau menjawab soalan tambahan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai langkah yang diambil kementerian bagi meningkatkan eksport sawit negara berikutan diskriminasi pada peringkat antarabangsa. 

Dalam pada itu, katanya kementerian melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC)  melaksanakan strategi kepelbagaian pasaran bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional seperti India, China dan Kesatuan Eropah.

Katanya kementerian turut memperkukuh kehadiran di pasaran berpotensi tinggi seperti Sub-Sahara Afrika, Timur Tengah, Afrika Utara dan ASEAN.

“Hasilnya, pada 2025,  pasaran baharu ini menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia. Eksport pasaran tradisional hanya 30 peratus berbanding 43 peratus pada 2024,” katanya. 

Menurutnya, penubuhan Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM) di Shanghai, China turut memperkukuh hubungan industri dan perdagangan Malaysia-China melalui pemindahan teknologi, inovasi produk dan pembangunan aplikasi baharu sawit.

-- BERNAMA