BERITA TERKINI   Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dilantik Pengerusi BN Sabah - Setiausaha Agung BN Zambry | Dewan Tertinggi BN terima penyertaan semula PPP - Setiausaha Agung BN Zambry | MIC masih bersama BN, isu keluar hanya spekulasi - Setiausaha Agung BN Zambry | Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Hafizuddeain dan isteri akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah KL esok - SPRM | Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah KL pada 23 Jan - SPRM | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China yang positif, kata peniaga.

Pengeluaran perkilangan AS meningkat tanpa dijangka pada Disember, naik sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan dan 2.0 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, ekonomi China berkembang sebanyak 5.0 peratus pada tahun lepas walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lembap pada suku keempat sebanyak 4.5 peratus tetapi masih memenuhi sasaran rasmi kira-kira lima peratus.

Beliau berkata harga turut dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan mengenai kekurangan bahan mentah disebabkan cuaca lembap di negara-negara pengeluar utama getah.

“Kenaikan dikekang oleh aktiviti pengambilan untung dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan kejatuhan harga minyak mentah dalam ancaman tarif baharu AS ke atas negara-negara Eropah dan ketegangan geopolitik yang lebih meluas,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, ringgit mengukuh kepada 4.0540/0575 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0605 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Sementara itu, minyak mentah Brent merosot 1.17 peratus kepada US$63.51 setong.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 dan susu getah pukal kekal tidak berubah pada 748 sen sekilogram dan 576 sen sekilogram.

-- BERNAMA