BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Perak FA 2-0 KL City FC | Piala Malaysia: PDRM FC 1-10 JDT | Piala Malaysia: Penang FC 1-0 Kuching City FC | 

AirAsia X Selesaikan Pengambilalihan AirAsia Bhd Dan AirAsia Aviation Group Ltd Daripada Capital A

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) - - AirAsia X Bhd telah menyelesaikan pengambilalihan AirAsia Bhd (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) daripada Capital A Bhd, menandakan berakhirnya proses penstrukturan semula kumpulan penerbangan itu. 

"Urus niaga ini diselesaikan melalui peruntukan dan penerbitan sebanyak 2,307,692,307 saham biasa baharu dalam AirAsia X kepada Capital A dan pemegang sahamnya yang layak, selain pengambilalihan oleh AAX liabiliti berjumlah RM3.8 billion yang sebelum ini terhutang oleh Capital A kepada AAB,” kata Air Asia X dalam satu kenyataan hari  ini.

Pada masa yang sama, AAX turut memperuntukkan dan menerbitkan 606,060,606 saham biasa baharu kepada para pelabur pihak ketiga bebas menerusi tawaran saham persendiriannya. 

Saham pertimbangan dan saham penempatan tersebut dijadual disenaraikan dan didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Januari 2026.

Air Asia X berkata dengan selesainya urusan pengambilalihan ini semua syarikat penerbangan berjenama AirAsia akan bergabung di bawah satu platform penerbangan tunggal iaitu “Kumpulan AirAsia”, sementara Capital A beralih bagi mengembangkan portfolio bukan penerbangannya.

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee berkata penstrukturan semula itu telah mewujudkan platform penerbangan yang lebih kukuh dan cekap, meletakkan kumpulan tersebut di kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pemegang kepentingan.

"Lembaga pengarah yakin penyepaduan ini akan menyediakan sinergi yang signifikan dan memperkukuh penerajuan Kumpulan AirAsia di rantau ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, penstrukturan semula tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kewangan, termasuk penggunaan kumpulan pesawat yang lebih baik, perancangan rangkaian lebih bersepadu dan platform operasi lebih kukuh sambil memanfaatkan ekosistem penerbangan dan perjalanan lebih meluas yang dibangunkan melalui kumpulan syarikat Capital A.

-- BERNAMA