Disiplin Fiskal, Prospek Pertumbuhan Tingkat Tarikan Malaysia Kepada Pelabur Asing - Moomoo

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Trajektori fiskal Malaysia yang stabil dan pertumbuhan ekonomi yang mampan telah meletakkan negara ini sebagai destinasi yang menarik untuk pelaburan asing, khususnya dalam sektor seperti infrastruktur, perkhidmatan kewangan dan tenaga boleh baharu.

Menurut Ketua Strategi Pasaran Moomoo bagi Asia Tenggara Isaac Lim, daya tahan Malaysia dalam mendepani cabaran global kekal sebagai faktor tarikan utama, sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur terhadap keupayaan negara itu untuk menahan kejutan luaran sambil mengekalkan pertumbuhan domestik yang kukuh.

“Disiplin fiskal Malaysia terus menunjukkan penambahbaikan, dengan defisit fiskal diunjurkan menurun kepada 3.5 peratus pada 2026 daripada 3.8 peratus pada 2025, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13.

“Ini menunjukkan komitmen Malaysia ke atas tanggungjawab fiskal, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata subsidi diesel dan RON95 dijangka membantu mengawal inflasi, seterusnya menyokong keadaan ekonomi secara keseluruhan.

Mengenai sektor yang perlu diberi perhatian pada tahun ini, Lim berkata antaranya ialah kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekosistem pusat data.

“Pada 2026, naratif AI yang boleh dilabur di Malaysia kurang tertumpu kepada gembar-gembur dan lebih kepada mengenal pasti pihak yang berpotensi menjana pendapatan daripada pembangunan itu.

"Keterlihatan pendapatan yang paling jelas terletak pada segmen semikonduktor bernilai tambah tinggi dan ekosistem pusat data yang lebih luas, yang mendapat manfaat daripada komitmen perbelanjaan modal — merangkumi infrastruktur perindustrian dan penyelesaian tenaga sehinggalah kepada sistem penyejukan, perkhidmatan kejuruteraan dan kesalinghubungan gentian,” katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya mengutamakan syarikat yang mempunyai nilai perolehan kontrak dalam tangan yang boleh dipercayai, disiplin margin yang kukuh dan permintaan yang berulang.

Di peringkat global, Lim berkata keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengenai keabsahan tarif timbal balas Presiden Donald Trump merupakan perkembangan penting untuk dipantau pada 2026, kerana ia berpotensi mempengaruhi pasaran bon AS dan memberi kesan limpahan ke seluruh pasaran kewangan global, termasuk Malaysia.

“Walaupun keputusannya masih tidak menentu, keputusan itu sebenarnya berpotensi mengganggu sentimen pelabur dan aliran perdagangan global. Bagi pelabur, ketidaktentuan ini menimbulkan risiko, khususnya kepada mereka yang mempunyai pendedahan ketara kepada pasaran AS.

“Sekiranya Perbendaharaan AS berhadapan dengan pembayaran balik berskala besar, ia boleh mencetuskan pembetulan pasaran, menjejaskan hasil bon AS dan mempengaruhi kestabilan kelas-kelas aset yang lain,” tambah beliau.

-- BERNAMA