Industri Pembinaan Dan Subkontraktor Malaysia Disaran Kembangkan Perniagaan Ke ASEAN, India

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Industri pembinaan dan subkontraktor Malaysia mesti berkembang melangkaui sempadan domestik dan secara aktif memanfaatkan peluang di rantau ASEAN yang lebih luas serta India untuk kekal berdaya saing, kata Pengerusi Majlis Ekonomi ASEAN-India (AIEC) Malaysia Datuk Ramesh Kodammal.

Beliau berkata Ekspo Bahan Bangunan dan Pembinaan Malaysia serta Ekspo Elektrik dan Tenaga Malaysia yang bakal diadakan sempena Subcon 2026, iaitu pameran dan persidangan khusus industri subkontraktor, akan berperanan sebagai platform serantau untuk mengukuhkan kerjasama industri, terutamanya antara pemain Malaysia dan India.

“Ini akan menjadi salah satu pameran terbesar tahun ini, dengan tumpuan yang kuat terhadap sektor pembinaan, bahan binaan, tenaga, dan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama sempena pelancaran media untuk pameran berkenaan.

Ramesh berkata pameran itu yang akan diadakan pada 11-12 Februari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, akan diadakan serentak dengan Subcon 2026, yang akan memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan industri subkontraktor Malaysia.

Beliau berkata pentingnya untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau dengan platform itu akan membuka peluang kerjasama dengan rakan sejawat India, yang disokong oleh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Ramesh juga menggesa para pemain industri untuk melangkaui aktiviti pembinaan tradisional, dengan sektor subkontraktor mesti menyesuaikan diri dalam permintaan industri yang berubah.

“Industri pembinaan dan subkontraktor mesti melihat melangkaui aktiviti tradisional seperti paip, simen, dan pembinaan jalan, serta memberi tumpuan kepada keselamatan, teknologi canggih, kerjasama kewangan dan model perniagaan baharu,” katanya.

Beliau juga menyeru para subkontraktor untuk secara agresif membina hubungan industri baharu, meneroka usaha sama, melibatkan rakan kongsi baharu dan menerima pakai pangaturan kewangan inovatif untuk bergerak ke hadapan secara kolektif.

Melalui inisiatif pameran itu, beliau berkata tujuannya adalah untuk mengukuhkan Persatuan Subkontraktor Malaysia (MSCA) sebagai platform yang berkuasa di samping menghubungkan pelbagai persatuan serantau dan antarabangsa.

Beliau juga menjemput para pemain industri untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pameran itu, berinteraksi dengan para pempamer dan delegasi dari India, China, Turkiye, Thailand dan negara-negara lain serta membina rangkaian yang lebih kukuh untuk masa depan industri subkontraktor.

Sementara itu, Presiden MSCA Chandra L Ramprakash berkata kebimbangan dalam kalangan subkontraktor mengenai penglibatan dengan persatuan itu sedang ditangani melalui pengenalan sistem kontraktor yang disahkan.

Beliau berkata MSCA telah melaksanakan proses pengesahan di mana ahli-ahlinya menjalani semakan profil secara menyeluruh, termasuk latar belakang kewangan, keupayaan tenaga kerja dan kredibiliti operasi, sebelum diberikan status yang disahkan.

Ekspo Bahan Bangunan dan Pembinaan Malaysia dan Ekspo Elektrik dan Tenaga Malaysia disokong oleh AIEC dan Majlis Perniagaan Antarabangsa Malaysia, manakala Subcon 2026 dianjurkan oleh MSCA.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pameran itu melalui laman web di https://www.malaysiaconstructandbuild.com dan https://www.malaysiapowerandelectric.com.

-- BERNAMA